Search

PRU Sabah: PN tanding 40 kerusi, sedia kerjasama dengan parti lain bentuk kerajaan

November 11, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Perikatan Nasional (PN) yang bakal bertanding 40 kerusi terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti lain bagi menubuhkan kerajaan negeri selepas keputusan Pilihan Raya Umum Dean Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 (PRN17) diketahui pada 29 November ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata pihaknya bersedia membentuk kerjasama jika gabungan itu tidak mendapat kerusi mencukupi bagi menubuhkan kerajaan.

“Kita terbuka bekerjasama dengan parti lain nanti, iaitu parti yang sealiran, seideologi. Jadi kita tiada masalah, yang penting mereka sedia bekerjasama dengan kita.

“Kalau dapat dilakukan, maka mudah untuk kita bentuk kerajaan nanti,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai calon PN, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, banyak parti yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan PN, namun beliau enggan mendedahkan mana-mana parti yang dimaksudkannya.

“Banyak yang mendekati kita, saya tak sebut siapa tapi tak payahlah saya umum. Apa yang saya boleh cakap ialah ada perbincanganan strategik bagaimana untuk membentuk kerajaan dan kongsi kuasa,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata daripada 40 calon PN, lima mewakili PAS dan tiga mewakili Gerakan, manakala selebihnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah.

Daripada jumlah itu, katanya 90 peratus adalah muka baharu dengan lima orang wanita ditampilkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi, Sulaman, Darau, Sungai Sibuga dan Silam.

“Muka baharu merangkumi 90 peratus daripada keseluruhan calon PN dengan masing-masing ada rekod cemerlang dan profesion yang baik.

“Sebelum dipilih, mereka sudah melalui proses saringan dan apa yang penting kita letak mereka sebagai calon,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kerusi yang ditandingi PN juga adalah munasabah bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan jika memenangi semua kerusi ditandingi.

“Kerusi yang kita pilih ini adalah berdasarkan maklumat di lapangan dan kita tidak kisah berdepan banyak parti, lebih banyak lebih meriah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya ada satu lagi kerusi bakal ditandingi PN iaitu Sindumin, namun belum diumumkan calon. – Info X