Search

Tambang bot laju Menumbok – Labuan diturun semula ke RM9 – Armizan

November 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kadar tambang bot penumpang Menumbok – Labuan dikembalikan kepada harga asal RM9 berkuatkuasa 11 November 2025, berbanding RM12 seorang bermula 1 November lalu.

Pengembalian kadar itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Menerusi kenyataannya pada Selasa, Armizan berkata pengembalian kadar asal itu hasil persetujuan yang dicapai dengan Persatuan Pengusaha Bot Laju Menumbok.

“Susulan daripada kenyataan media saya pada 5 Nov 2025, sebanyak dua kali sesi perjumpaan telah diadakan di antara KPDN dan agensi-agensi kerajaan berkaitan serta Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok bagi membincangkan isu berbangkit berkaitan kenaikan harga tambang penumpang bagi laluan Menumbok – WP Labuan.

“Hasil muafakat, persetujuan telah dicapai, iaitu kadar tambang penumpang dikembalikan kepada harga asal RM9 berkuatkuasa hari ini, 11 Nov 2025 berbanding kenaikan harga RM12 sebagai surcaj bahan api yang telah diumum oleh pihak persatuan dan dilaksana pada 1 Nov 2025 lalu.

“KPDN dan agensi kerajaan berkaitan akan membantu menyegerakan kelulusan permohonan subsidi petrol RON95 sebaik operator bot yang layak membuat permohonan melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bermula 13 Nov 2025,” katanya.

Katanya, sebagai langkah interim, operator bot yang layak dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik kos tambahan bahan api melalui sistem yang sama dan kelayakan tuntutan berkuat kuasa 11 Nov 2025.

Beliau berkata, tuntutan bayaran balik untuk tempoh 30 Sept 2025 hingga 31 Okt 2025, ketika harga tambang belum dinaikkan dan operator bot terpaksa menanggung kos tambahan, juga akan dipertimbangkan dengan disertai rekod pembelian.

“Terima kasih kepada Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok.

“Jutaan terima kasih juga kepada Datuk Limus Jury, penyangan kerusi DUN Kuala Penyu yang telah membantu dalam memastikan kepentingan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan pengusaha bot penumpang diberikan perhatian,” katanya. – Info X