Search

PRU Sabah: Johainizamshah, pemimpin muda berwawasan bawa perubahan di Lamag

November 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Membawa suara anak muda bukan bermakna hanya untuk membela golongan belia, sebaliknya pemimpin muda juga mampu membela nasib rakyat dan membawa pembangunan serta perubahan besar di sesuatu kawasan.

Berpegang kepada kepercayaan itulah, Johainizamshah Johari, seorang anak muda dari Bukit Garam, Kinabatangan mahu membuktikan kemampuannya melaksanakan agenda membela rakyat dan melakar pembangunan yang bermakna, khususnya di Lamag dan Kinabatangan.

Meskipun hanya seorang pemimpin kecil, Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Lamag itu mempunyai misi besar untuk membawa Kinabatangan ke satu tahap yang lebih baik dan maju berbanding sekarang.

Itu antara tekad yang beliau mahu laksanakan dan lebih membanggakan lagi, Johainizamshah berjaya membawa pelaburan bernilai RM300 juta menerusi projek pembangunan Bandar Baharu Sri Milian di Kinabatangan.

Projek yang dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada Ogos lalu itu bakal membuka lembaran baharu kepada rakyat Kinabatangan untuk menikmati kemajuan yang dibawa menerusi kerjasama kerajaan dan sektor swasta.

Johainizamshah yakin dengan siapnya projek itu nanti, ia bakal merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan perniagaan di Kinabatangan sejajar kedudukannya sebagai laluan utama ke kawasan pantai timur dan gerbang ke destinasi pelancongan berasaskan alam semulajadi dan komuniti.

Dalam ulasannya terhadap pelaksanaan projek itu sebelum ini, beliau berkata pembinaan bandar baharu itu yang merangkumi tiga fasa dalam tempoh 15 tahun dianggar membawa Nilai Pembangunan Kasar (GDV) mencecah RM366 juta.

Johainizamshah dari Bukit Garam, Kinabatangan mahu membuktikan kemampuannya melaksanakan agenda membela rakyat dan melakar pembangunan yang bermakna, khususnya di Lamag dan Kinabatangan.

Projek itu, katanya bukan saja merangkumi pembinaan rumah moden dan mampu milik, malah pembinaan infrastruktur asas jalan raya, bekalan air dan elektrik, pusat pentadbiran baharu Majlis Daerah Kinabatangan, institusi pendidikan, dewan masyarakat, kawasan rekreasi, zon komersial dan industri ringan.

“Ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi satu simbol bahawa kerajaan negeri benar-benar serius mahu membawa perubahan menyeluruh kepada luar bandar seperti Kinabatangan,” katanya.

Selain projek mega yang disasar membawa impak ekonomi yang besar di Kinabatangan itu, Johainizamshah juga melakar banyak pencapaian lain sejajar tanggungjawabnya sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) di Lamag, sebelum ini.

Antaranya, menyelesaikan permohonan tanah penduduk yang berlarutan sejak 1990-an bagi kawasan Dun Lamag menerusi Program PANTAS yang membabitkan sebanyak 442 pemohon.

Beliau turut menyelesaikan 12 permohonan tanah CL di kawasan Pekan Kota Kinabatangan, menyelesaikan satu permohonan tanah skim di Kampung Lot M, menyelesaikan dua Permohonan Tanah Majlis Daerah Kinabatangan dan menyelesaikan isu air di Kampung Sri Tanjung PPMS yang memberi manfaat kepada 56 rumah.

Selain itu, dalam aspek kebajikan, beliau berjaya mencari, menjejak dan membantu mendaftarkan sebanyak 223 permohonan di Jabatan Kebajikan dengan 101 pemohon sudah diluluskan setakat ini.

Johanizamshah juga aktif menjejak dan membantu urusan pendaftaran sebanyak 442 permohonan eKasih penduduk di Lamag, mengagihkan 2,522 bakul makanan kepada mangsa banjir dan miskin serta menyumbang katil homeward kepada 10 pesakit di daerah itu.

Dengan pencapaian yang dilakar beliau itu sudah cukup untuk menggambarkan kemampuan dan komitmennya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang boleh diharapkan oleh rakyat di Kinabatangan, khususnya di DUN Lamag.

Johainizamshah pastinya mampu menggalas tanggungjawab yang lebih besar untuk menjaga rakyat Lamag dan Kinabatangan sekiranya dipilih menjadi pemimpin yang mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 nanti.

Atas keyakinan itu, beliau pastinya antara pemimpin yang sesuai dicalonkan di kerusi DUN Lamag bagi mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencabar penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sudah disahkan bakal mempertahankan kerusi atas tiket Barisan Nasional (BN).

Ramai yang berpandangan sudah sampai masanya anak muda diberi peluang lebih besar untuk menjadi pemimpin bagi menggantikan pemimpin sedia ada yang sudah lama berada dalam politik, khususnya di Kinabatangan. – Info X