KOTA KINABALU: Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dan pemilikan dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin dalam dua serbuan berasingan di Penampang dan Papar, semalam.
Dalam serbuan pertama kira-kira jam 12.25 tengah hari di sebuah kondominium di Penampang, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menahan seorang lelaki yang memandu kereta Proton Saga berwarna coklat.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemeriksaan menemui satu kotak hitam berisi enam paket serbuk disyaki ekstasi seberat 125.3 gram.
“Selain itu, turut ditemui tiga paket ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis ketamin seberat 7.6 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5,700.
“Suspek mengaku dadah itu miliknya dan mendakwa memperolehnya daripada seorang individu yang dikenalinya di sebuah pusat hiburan di Penampang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Susulan penahanan itu, beliau berkata polis menjalankan serbuan kedua di sebuah rumah di Kinarut, kira-kira jam 4.30 petang hari sama dan menahan seorang lagi lelaki.
“Pemeriksaan menemui dua paket serbuk disyaki ekstasi seberat 30 gram serta 14 batang rokok dipercayai dicampur serbuk ketamin.
“Suspek turut menyerahkan sendiri bahan berkenaan kepada pasukan serbuan,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“JSJN Sabah akan terus memperhebat operasi serta risikan bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di negeri ini,” katanya. – Info X