KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai misi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memenangi 55 kerusi yang akan ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 (PRN17), 29 November ini.
Selain Hajiji yang akan mempertahankan kerusi DUN Sulaman, tiga presiden parti yang memegang jawatan Timbalan Pengerusi GRS turut bertanding pada pilihan raya itu.
Mereka ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman.
Nama mereka adalah antara 51 daripada 55 calon dipertaruhkan GRS yang diumumkan Hajiji pada pengumuman calon gabungan itu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sekali lagi akan mempertahankan kerusi DUN Sulaman yang disandangnya sejak 1990, manakala Dr Joachim mempertahankan kerusi DUN Kundasang.

Pandikar pula diumum bakal bertanding di kerusi DUN Pintasan, menggantikan Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan selaku penyandangnya.
Sementara itu, Anifah yang juga bekas Menteri Luar sah dicalonkan mewakili GRS di kerusi DUN Bongawan.
Selain itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun turut dikekalkan bagi mempertahankan kerusi DUN Karanaan, manakala Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai juga kekal mempertahankan kerusi DUN Kiulu.
Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonybone Kurum pula diumum mempertahankan kerusi DUN Telupid yang disandangnya sejak 2020.
Hanya dua presiden parti komponen GRS tidak bertanding, iaitu Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah. – Info X