KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan senarai 73 calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah), menandakan persiapan rapi parti itu untuk menghadapi pertandingan yang dijangka sengit di seluruh negeri.
Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang membuat pengumuman berkenaan berkata, kesemuanya hasil saringan daripada kira-kira 7,000 nama dengan melalui proses pemilihan yang mengambil kira usia, pengalaman dan kesesuaian calon.
“Hampir 60 peratus calon adalah muka baharu tetapi kita bawakan calon yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing termasuklah calon terdiri daripada bekas hakim, majistret, pegawai kanan dan tokoh masyarakat termasuk menteri.
“Kita juga mempunyai 14 jurutera, 16 pemegang ijazah sarjana dan enam ijazah doktor falsafah (PhD), parti memilih calon berdasarkan gabungan pengalaman, kesetiaan serta tenaga muda dengan penekanan serius kepada generasi muda yang dilihat sebagai pengganti generasi lama,” katanya semasa sidang media selepas pengumuman terbabit.
Beliau berkata, Warisan juga menghargai sumbangan tokoh lama yang masih berkhidmat dan menegaskan calon yang dipilih mempunyai hubungan rapat dengan rakyat serta mampu menjaga tanggungjawab dan memberikan perkhidmatan baik di kawasan masing-masing.
“Sebahagian besar calon berpengalaman dalam pelbagai bidang seperti minyak, pendidikan dan pentadbiran.
“Calon yang terlibat termasuk seorang doktor perubatan penerima anugerah berprestij, wanita muda mantan magistret dan ketua daerah, serta doktor dalam bidang pertanian dan seorang yang mempunyai pengalaman dalam bidang minyak dan gas agar membantu Sabah memanfaatkan kekayaan dan gas yang ada di negeri kita,” katanya.
Menurutnya, dalam proses pemilihan, Warisan menegaskan tiada calon yang berdepan kes rasuah atau mahkamah yang boleh menjejaskan kredibiliti parti.
“Sebanyak 30 peratus calon yang diumumkan adalah golongan muda yang diharapkan mampu membawa suara serta aspirasi generasi muda Sabah, antara yang menonjol termasuk ketua-ketua organisasi anak muda serta beberapa tokoh muda yang berpengaruh.
“Penyertaan wanita juga mendapat perhatian khusus dengan lebih 10 peratus calon wanita yang diketengahkan, selari dengan usaha meningkatkan penglibatan wanita dalam arena politik negeri,” katanya.

Beliau berkata, usaha yang diambil ini untuk memastikan parti sentiasa relevan dan dinamik dalam menghadapi cabaran pembangunan Sabah.
“Pemilihan calon dibuat dengan teliti berdasarkan ketokohan, kemampuan untuk memperjuangkan hak rakyat serta kesesuaian calon dengan kehendak dan keperluan komuniti setempat.
“Calon-calon ini akan berjuang membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memperkukuh kestabilan dan pembangunan di Sabah,” katanya.
Shafie sendiri yang akan bertanding di kerusi Senallang menyeru seluruh penyokong dan rakyat Sabah supaya memberikan sokongan padu kepada calon-calon yang diumumkan demi memastikan kelangsungan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“PRU17 Sabah dijangka berlangsung tidak lama lagi dan Warisan bersedia menghadapi cabaran dengan barisan calon yang mantap.
“Dengan pengumuman rasmi 73 calon ini, Warisan menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan hak dan aspirasi rakyat Sabah serta memastikan suara kita didengar dalam pentadbiran negeri.
“Warisan optimis barisan calon ini mampu memperkukuh kedudukan parti dalam pilihan raya negeri kali ini dan memperjuangkan aspirasi rakyat Sabah secara menyeluruh,” katanya. – Info X