Search

‘Warisan ditubuh untuk bela rakyat Sabah, bukan jadi menteri atau pm’ – Shafie

November 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perjuangan Parti Warisan Sabah (Warisan) bukan semata-mata untuk merebut kuasa politik, sebaliknya bagi mempertahankan hak rakyat Sabah dan memastikan masa depan generasi akan datang lebih baik.

Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, penubuhan Warisan lahir daripada kesedaran untuk membela rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama mahupun daerah demi memastikan keadilan dan kemajuan dapat dinikmati oleh semua.

“Warisan bukan parti yang ditubuhkan kerana ingin menjadi menteri atau perdana menteri, tetapi parti ini dibina atas niat untuk berkhidmat dan membela rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan watikah calon Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah).

Shafie berkata, perjuangan rakyat Sabah menuntut kemerdekaan sebelum pembentukan Malaysia harus dihayati, kerana sejarah itu menunjukkan semangat dan tekad rakyat negeri ini untuk membebaskan diri daripada penjajahan British.

Beliau menjelaskan kemerdekaan sebenar bagi Sabah dan Sarawak bermula pada 16 September 1963, tarikh penubuhan Malaysia, dan bukan pada 31 Ogos 1957 iaitu hari kemerdekaan Tanah Melayu.

“Kita perlu memahami bahawa Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia sebagai wilayah, bukan sekadar negeri seperti Perlis atau Kedah. Oleh itu, kedudukan dan hak Sabah mesti dihormati,” katanya.

Dalam ucapannya, Shafie turut menekankan kepentingan memperjuangkan kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas kepada penubuhan negara.

Beliau berkata, usaha Warisan semasa menjadi kerajaan negeri pada 2019 untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengiktiraf semula kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah, membuktikan komitmen parti dalam mempertahankan hak negeri ini.

“Bila kita membawa pindaan itu ke Parlimen pada November 2019, ia satu langkah besar untuk mengembalikan martabat Sabah sebagai wilayah. Perjuangan itu bukan retorik, tetapi usaha nyata demi hak rakyat.

“Pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Sabah dan Sarawak kini dilakukan di negeri berkenaan, menandakan pengiktirafan terhadap autonomi kehakiman di bawah semangat MA63,” katanya.

Menyentuh mengenai isu 40 peratus hasil Sabah, Shafie menegaskan perkara itu tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri lain kerana ia termaktub dalam Perjanjian MA63.

“Hasil 40 peratus itu hak Sabah. Hasil itu penting untuk membangun negeri, menyediakan peluang pekerjaan dan memastikan anak-anak kita tidak perlu berhijrah ke luar negara mencari rezeki.

“Kemajuan Sabah akan memberi manfaat besar kepada negara secara keseluruhan kerana apabila negeri ini maju, hasil negara juga meningkat dan memberi pulangan lebih besar kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Shafie turut berkongsi pengalaman peribadi menghadapi pelbagai cabaran dalam dunia politik, termasuk penghinaan dan penahanan, namun tetap teguh kerana niat perjuangan untuk rakyat.

“Saya pernah tidur di lantai, berlapar dan ditahan, tetapi semua itu pengorbanan yang kecil demi perjuangan ini.

“Perjuangan kita bukan untuk harta atau pangkat, tetapi untuk membela rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan pentingnya perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah, dengan menolak sebarang bentuk diskriminasi.

“Kita bantu semua tanpa mengira agama atau bangsa. Orang Islam, Kristian, Buddha, semua bayar cukai, semua ada hak yang sama untuk dibela.

“Walaupun Warisan bukan parti besar seperti parti nasional lain, kekuatan sebenar parti terletak pada jiwa dan semangat ahlinya yang setia berjuang demi rakyat.

“Jangan nilai kami dengan bangunan atau kemewahan, tetapi nilai kami dengan apa yang sudah dan akan kami lakukan untuk rakyat,” katanya.

Beliau turut mengumumkan sebanyak 73 calon Warisan akan bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini, mewakili pelbagai latar belakang dan kaum di seluruh Sabah.

Shafie mengingatkan semua penyokong agar menerima keputusan parti dengan terbuka dan memberi sokongan padu kepada calon yang dipilih.

“Pemilihan calon dibuat berdasarkan keikhlasan, kesetiaan dan kesanggupan berkorban untuk rakyat. Saya minta semua bersatu, jangan berpecah,” katanya.

Menutup ucapannya, Shafie menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus bersama dalam perjuangan menegakkan hak negeri di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan memastikan masa depan anak-anak Sabah terus terpelihara.

“Perjuangan ini bukan untuk saya, tetapi untuk generasi yang akan datang. Semoga Sabah terus maju dan berdiri teguh dalam Persekutuan Malaysia,” katanya. – Info X