KOTA KINABALU: Anak Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, adalah antara 51 calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.
Beliau ialah Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa yang dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila.
Pencalonan Hazem menjadikan dua anak Tun Musa bertanding pada pilihan raya kali ini selepas seorang lagi, Datuk Yamani Hafez Musa dicalonkan PKR bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi DUN Sindumin.
Sementara itu, Hajiji berkata calon GRS kali ini terdiri daripada gabungan pemimpin berpengalaman dan orang muda, dengan 35 peratus adalah muka baharu, manakala selebihnya penyandang.
Katanya, secara keseluruhan seramai 55 calon dipertaruhkan GRS, namun empat lagi akan diumumkan esok.
“Calon-calon bagi GRS telahpun kita umumkan. Hanya tinggal empat lagi kawasan yang saya akan umumkan besok.
“Jadi, calon-calon ini adalah gabungan mereka yang berpengalaman dan orang-orang muda, 35 peratus adalah muka baharu.
“Saya yakin calon-calon yang kita tampilkan ini adalah mereka yang boleh menang dalam pilihan raya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengumumkan senarai 51 calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.
Pengerusi GRS itu berkata, penetapan calon tidak mengira dari parti apa kerana semuanya dari GRS dan menggunakan lambang gabungan itu pada pilihan raya 29 November ini.
“Saya berharap dengan pengumuman calon-calon tadi, penyokong-penyokong GRS dan juga parti-parti komponen mesti bekerja kuat untuk memastikan calon kita menang dalam pilihan raya ini.
“Kita amat yakin kita akan menang dalam pilihan raya ini,” katanya. – Info X