Search

PRU Sabah: Adik, doktor ganti Shahelmey dan Suryady di Tanjung Keramat, Tanjung Batu

November 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua penyandang menteri dan pembantu menteri yang sebelum ini dikhabarkan akan bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak disenaraikan sebagai calon gabungan itu.

Pemimpin yang digantung keahlian dalam UMNO itu, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, masing-masing menyandang kerusi DUN Tanjung Keramat dan Tanjung Batu.

Nama mereka tidak disebut pada pengumuman calon GRS yang dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.

Berdasarkan senarai calon yang diumumkan Hajiji, dua muka baharu dinamakan mewakili GRS di Tanjung Keramat dan Tanjung Batu.

Di Tanjung Keramat, Setiausaha Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya yang jiga adik Shahelmey dinamakan sebagai calon GRS, manakala Dr Andi M Shamsureezal Mohd Sainal di Tanjung Batu.

Mereka berdua adalah antara 35 peratus calon muka baharu yang bakal dipertaruhkan GRS pada pilihan raya kali ini.

Selain mereka, antara muka baharu lain ialah Syed Ahmad Syed Abas yang dicalonkan di kerusi DUN Balung, Datuk Redonah Bahanda (Bandau), Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra (Pantai Manis) dan Johainizamshah Johari (Lamag).

Muka baharu selebihnya ialah Mudezam Muyau (Kadamaian), Datuk Arshad Idris (Karambunai), Datuk Mohd Razali Razi (Darau), Joeynwood Bansin (Moyog), Datuk Victor Paut (Tambunan), Datuk Amirshah Yaakub (Sungai Sibuga), Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiana (Sekong), Datuk Marunda KK Ampong (Senallang) dan Noordin Abdul Hussin (Bugaya).

Selebihnya ialah calon penyandang dan calon yang bertanding semula, manakala hanya seorang penyandang digugurkan iaitu Datuk Fairuz Renddan di kerusi DUN Pintasan selepas tempatnya diambil alih Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia. – Info X