Search

PRU Sabah: USNO pertaruh suami isteri tanding tiket GRS di Pintasan dan Sekong

November 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) hanya meletakkan dua calon untuk bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November ini.

Menariknya, dua calon USNO itu ialah pasangan suami isteri, iaitu Presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang bertanding di kerusi DUN Pintasan, manakala isterinya, Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiana di kerusi DUN Sekong.

Pandikar Amin menggantikan penyandang kerusi DUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan yang digugurkan pada saat akhir atas permintaan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Isteri beliau yang juga Ketua Bahagian USNO Sekong pula bakal mencabar penyandang kerusi DUN Sekong dari Parti Warisan, Alias Sani, yang dicalon semula bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Pasangan suami isteri itu melakar sejarah pada PRU Sabah Ke-17 apabila bertanding atas tiket yang sama, seorang di pantai barat (Pintasan) dan seorang di pantai timur (Sekong).

Nama mereka adalah antara 51 calon GRS yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS pada Rabu.

Ketika ditemui pemberita, Pandikar Amin yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, menyatakan keyakinan untuk memenangi kerusi DUN Pintasan walaupun mengakui ada yang tidak senang dengan pencalonannya.

Beliau berkata, rakyat Pintasan yang akan menentukan siapa pilihan mereka pada 29 November ini dan yakin mereka akan memilihnya sebagai wakil rakyat di DUN Sabah nanti.

Pandikar juga mencabar wartawan untuk ‘bertaruh’ dengan beliau sama ada boleh menang atau tidak di kerusi DUN Pintasan. – Info X