KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Datuk Rina Jainal digantung keahlian dalam parti itu selama tiga tahun berkuatkuasa semalam, 12 November 2025.
Tindakan terhadap penyandang kerusi DUN Kukusan itu menjelang tiga hari lagi penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 dilihat sesuatu yang mengejutkan.
Berikutan tindakan itu, Rina tidak akan dicalonkan mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Menerusi satu kenyataan, PHRS mendakwa dalam tempoh hampir dua tahun, Rina selaku penyandang kerusi DUN Kukusan gagal membawa dan mempromosikan nama PHRS dalam sebarang aktiviti kemasyarakatan serta gerak kerja di Kukusan.
Parti itu mendakwa ia termasuk tidak menggunakan atau meletakan logo atau bendera parti di Pejabat ADUN seperti yang wajib dilakukan oleh wakil rakyat yang bernaung dalam sesebuah parti.
“Banyak aduan diterima daripada ahli parti di DUN Kukusan menuntut penjelasan kepimpinan PHRS.
“Bagi mengelakkan lebih banyak kekeliruan dan impak negatif kepada parti, PHRS memberi tanggungjawab kepada Ketua Bahagian Kukusan, Puan Hajah Samsiah terus menggalas urusan pergerakan ahli parti dan berkhidmat untuk rakyat Kukusan.
“Ini termasuk membabitkan kerja pewartaan empat perkampungan di Lapangan Terbang Lama, Tawau. Tindakan penyandang kerusi DUN Kukusan tidak bergerak seiring dengan parti dilihat merencatkan usaha PHRS memperjuangkan hak pewartaan perkampungan berkenaan.
“Malah, jauh lebih besar, dibimbangi akan menafikan hak orang kampung yang telah lama mengimpikan pewartaan berkenaan seperti yang berjaya dilakukan sekarang,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, menerusi perjumpaan bersama barisan Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua-Ketua Cawangan PHRS di DUN Kukusan, mereka bersetuju tidak mencalonkan penyandang DUN Kukusan sebagai calon pada PRU Sabah Ke-17.
“PHRS sentiasa meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan bagi memastikan GRS terus relevan untuk membantu merancakkan perancangan pembangunan di DUN Kukusan,” katanya.
Ketika pengumunan calon GRS pada Rabu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak menyebut kerusi DUN Kukusan, tapi dijangka calon bagi kerusi itu diumumkan hari ini. – Info X