TUARAN: Deretan 70 pintu rumah pekerja di Taman Seri Lemawang, Jalan Tuaran, di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi Khamis, namun 50 penghuni sempat menyelamatkan diri dalam insiden mencemaskan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an dilaporkan cedera ringan selepas terkena zink ketika cuba menyelamatkan diri daripada rumah yang terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.45 pagi sebelum tiga jentera bersama sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan tiba pada jam 5.57 pagi, kira-kira 11 kilometer dari balai, dan mendapati kebakaran melibatkan deretan rumah pekerja jenis tidak kekal berkeluasan satu ekar.
“Api marak dengan cepat kerana struktur bangunan diperbuat daripada kayu selain tiupan angin kencang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, keseluruhan 70 pintu rumah berkeluasan kira-kira 10×10 kaki setiap satu terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba berusaha memadam api menggunakan dua aliran 200 kaki dan empat pancutan air daripada jentera serta water tanker dengan teknik ‘offensive dan defensive’ bagi mengelakkan api merebak ke kawasan berhampiran.
“Mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.28 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 7.52 pagi.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X