Search

PRU Sabah: Jordan di’prank’ Jeffrey, sudah diumum calon Tulid, orang lain diberi watikah

November 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sudah diumum awal-awal lagi sebagai calon, malah bahan kempen, termasuk baju dan bendera sudah dibeli, tapi nama tidak tersenarai apabila majlis pengumuman calon dibuat pada Rabu.

Itu nasib Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jordan Jude Ellron yang sebelum ini diumumkan sebagai calon STAR di kerusi DUN Tulid oleh Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Bagaimanapun, namanya tiada dalam senarai calon yang diumumkan Jeffrey dan diberi watikah pada majlis pengumuman calon STAR di sini, pada Rabu.

Dalam senarai calon parti itu tercatat nama penyanyi Datuk Evaristus Gungkit dicalonkan STAR di kerusi DUN Tulid yang terletak dalam Parlimen Pensiangan.

Berikutan itu, Jordan yang juga anak bekas Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Angin mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Ketua Exco Wiramuda STAR dan Ketua Bahagian STAR Nabawan serta merta.

“Ada yang mungkin bertanya kenapa saya letak jawatan saat akhir, lebih-lebih sekarang adalah musim pilihan raya. Kerana tidak satu kerusi diberi peluang untuk Exco Wiramuda STAR bertanding.

“Maksudnya, tiada satupun anak muda diberi peluang. Semuanya hanya pejuang lama, pejuang baharu tidak diberi muka.

“Secara Prinsip, saya letak jawatan kerana anggap tiada fungsi sebagai Ketua Exco Wiramuda,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.

Katanya, Jeffrey sebelum ini mengumumkan bahawa beliau sebagai Ketua Exco Wiramuda STAR bakal dicalonkan Untuk PRU Sabah di kerusi DUN Tulid.

“Presiden mengumunkannya di Sokid Villa pada Oktober lalu dan disahkan oleh Mesyuarat Biro Politik yang dianggotai lapan pimpinan tertinggi dalam parti.

“Namun, bahan kempen telah saya belikan dan deposit pencalonan telah dibayar. Dengan itu, bahan kempen saya seperti baju, bendera, saya ikhlaskan menderma kepada bakal calon STAR. Belum tentu, orang lain dapat buat sebegitu,” katanya.

Beliau berkata, nasib yang sama dialami Timbalan Exco Wiramuda STAR, Razidin Robert yang sebelum ini turut diumumkan sebagai calon di kerusi DUN Bingkor.

“Dua kali Razidin diumumkan untuk bertanding di kerusi DUN Bingkor. Pertama di Sokid Villa dan kedua kali pada pelancaran Jentera Kiulu dan disahkan oleh Biro Politik, namun tidak ditunaikan Juga.

“Saya telah bertungkus-lumus untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan mengembangkan parti ini dan kerja sudah dijalankan di sekitar kawasan Parlimen Pensiangan, pengundi di sini tahu rekod saya di sini.

“Namun, ada yang segelintir pemimpin parti yang ‘toxic’ bilangnya, ‘bapa korek, anak rintis’, tapi saya sudah menyatakan tidak mengikut jejak ‘beliau’ untuk meninggalkan parti ini dan setia kepada presiden kerana percaya dengan perjuanganya.

“Namun, ada segelintir orang lama yang ‘toxic’ mengaitkan saya dan timbalan saya menjadi pengkhianat dalam parti.

“Namun, ada cadangan dari presiden dan penasihat dia sendiri untuk menghantar saya di Sook. Ideologi politik boleh berbeza tapi menghantar saya melawan ‘beliau’ saya sendiri adalah misi ‘bunuh diri’. Langkah itu akan menjejaskan hubungan sebagai anak dan bapa sendiri,” katanya.

Beliau merujuk kepada pencalonan ayahnya oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi DUN Sook yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajii Noor, di sini, semalam.

Jordan berkata, berikutan situasi itu, ada yang menasihatkannya supaya bersabar dan menunggu peluang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen.

“Tapi, jawapanya, apa perasaan kalau saya yang tanam benih, tapi orang lain yang menuai? Tiada cara lain tapi untuk turun pada pilihan raya ini.

“Antaranya, president telah menjanjikan 30 peratus kuota untuk bertanding di DUN dan bahawa orang muda bertanding di Parlimen.

“Begini saja, dalam parti, pendirian presiden tidak konsisten, bukan saja saya dijanjikan di kawasan yang sama, tapi ada juga pemimpin yang lain dijanjikan.

“Benda ini akan diulangi lagi seperti sekarang jikalau saya percaya sebulat-bulatnya. Jika presiden boleh umum di hadapan ramai bahawa saya Ketua Exco Wiramuda dan Razidin, timbalan saya sebagai calon tapi kena ‘prank’ apa lagi yang bawahan,” katanya.

Berikutan itu, katanya beliau sudah membuat keputusan untuk bertanding di kerusi DUN Tulid atas tiket bebas dan menyerahkan kepada rakyat di kawasan itu untuk menentukan.

Katanya, beliau meletak jawatan dalam STAR atas dasar pengorbanan supaya Jeffrey membuka mata dan tidak membuat tindakan yang sama terhadap generasi muda pada masa akan datang.

“Biarlah berlaku dengan saya, tapi jangan dengan generasi yang selepas saya,” katanya. – Info X