TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan empat lagi calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi melengkapkan jumlah 55 orang calon yang ditetapkan gabungan itu.
Katanya, calon bagi empat kerusi terbabit iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, Kukusan, Sebatik dan Bingkor yang tidak diumumkan semalam, sudah diputuskan hari ini.
Mereka ialah Dr Bonaventure Boniface di kerusi DUN Tamparuli, Samsiah Usman (Kukusan), Rafie Robert (Bingkor) dan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik).
Pencalonan mereka diumumkan Hajiji pada Penutupan Hari Sukan dan Keluarga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tuaran, di Dewan Sri Sulaman, di sini, pada Khamis.
Semalam, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengumumkan seramai 51 calon GRS pada majlis pengumuman calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN Sabah) Ke-17 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Berikutan pengumuman empat lagi calon tambahan itu, maka GRS sah meletak calon di 55 kerusi DUN pada PRN17 yang dijadualkan pada 29 November ini, manakala penamaan calon pada Sabtu ini, 15 November 2025.
Terdahulu, Hajiji yang juga calon GRS bagi kerusi DUN Sulaman mengakui berdepan cabaran untuk memilih calon mewakili GRS pada pilihan raya kali ini.
Katanya, setiap kawasan mempunyai tiga hingga empat calon yang disifatkannya semua baik dan berpotensi memenangkan GRS, namun terpaksa memilih hanya seorang.
“Semua calon yang dicadangkan baik, ada pengaruh, satu kawasan ada tiga orang, jadi di sanalah cabaran saya untuk membuat pilihan.
“Semua ada potensi, tapi saya kena pilih hanya satu saja. Bagi yang tidak terpilih, saya minta mereka kena sokonglah calon yang kita umumkan,” katanya. – Info X