KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) hari ini melancarkan manifesto dan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, dengan menampilkan barisan 39 calon daripada pelbagai latar belakang.
Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda, mengesahkan akan bertanding bagi kerusi DUN Matunggong, manakala Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter, pula akan bertanding di DUN Melalap, sekali gus menandakan penampilan sulungnya sebagai calon pilihan raya.
Mengulas lanjut, Wetrom berkata satu lagi calon bagi kerusi Kemabong akan diumumkan esok, menjadikan keseluruhan 40 calon parti itu bertanding pada pilihan raya kali ini.
Katanya, senarai calon berkenaan mencerminkan keseimbangan antara pengalaman dan semangat baharu, termasuk golongan profesional, akademik, peniaga serta anak muda seawal usia 27 tahun.
“Kita tidak mahu berjanji lebih-lebih. Apa yang penting ialah semangat untuk berjuang dan berbakti kepada rakyat seluruh Sabah.

“KDM menawarkan calon-calon yang membawa mesej pembaharuan dan perpaduan, dengan tekad untuk membina masa depan Sabah yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera serta Manifesto KDM, hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak media dan penyokong yang terus memberikan kepercayaan kepada parti itu.
Menegaskan pendirian parti, Watrom berkata KDM kekal sebagai parti tempatan Sabah yang tulen dan tidak pernah bergabung dengan mana-mana parti dari luar negeri ini.
“Kita adalah parti Sabah yang benar-benar lokal. Kita tidak pernah bertanding di luar Sabah. KDM berdiri atas kekuatan sendiri dan mempunyai pendirian tetap.
“Buat masa ini KDM tidak berhasrat untuk bergabung dengan mana-mana parti, dan sebarang keputusan mengenai kerjasama politik hanya akan dipertimbangkan selepas pilihan raya berdasarkan persetujuan semua wakil rakyat parti,” katanya.
Dalam pada itu, Wetrom turut mengesahkan beliau akan bertanding di kawasan Matunggong, selaras dengan hasratnya untuk kembali berkhidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

“Sejak 2018 saya pernah diumumkan sebagai calon di Matunggong di bawah Barisan Nasional.
“Kali ini, saya kembali ke sana kerana rakyat Matunggong sendiri yang meminta saya kembali untuk berbakti,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menafikan wujud sebarang pertindihan calon atau masalah dalaman, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh jentera dan menyatukan penyokong di semua peringkat.
Wetrom menjelaskan, walaupun parti itu membawa nama KDM) ia tidak hanya mewakili masyarakat Kadazan, Dusun, Murut semata-mata.
“Dalam perlembagaan parti, KDM terbuka kepada semua kaum. Kita ada tiga timbalan presiden mewakili masyarakat Kadazan-Dusun, Muslim Bumiputera dan Cina.
“Perkara itu membuktikan KDM ialah parti pelbagai kaum, malah beberapa calon mewakili masyarakat Tionghoa akan bertanding di kawasan seperti Tawau, Seri Tanjung, Tanjung Papat dan Elopura,” katanya.
Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter, pula menyatakan keyakinan bahawa parti itu kini mendapat sokongan padu di peringkat akar umbi hasil kerja keras jentera sepanjang beberapa bulan lalu.
“Walaupun saya masih baharu dalam politik, saya tidak menafikan sokongan kuat datang daripada legasi ayah saya sebagai bekas wakil rakyat yang dihormati.
“Namun selepas turun padang ke semua 10 PDM, saya nampak rakyat mahukan perubahan,” katanya.

Beliau menegaskan dirinya kini menjadi simbol anak muda dalam politik Sabah dan semangat pembaharuan itu diterima baik masyarakat, termasuk di Melalap dan kawasan majoriti Tionghoa.
“Saya yakin dengan kerja keras, doa dan izin Tuhan, kita akan mempertahankan semangat perjuangan di Melalap.
“Kira-kira 30 peratus calon KDM kali ini terdiri daripada golongan muda. Bukti parti kita memberi ruang kepada generasi baharu untuk memimpin,” katanya.
Priscella turut merakamkan penghargaan kepada semua jentera, ahli dan penyokong KDM yang terus setia berjuang bersama parti menghadapi PRN Sabah ke-17. – Info X