KOTA KINABALU: Berdepan nama besar yang cukup dikenali kelantangan suaranya di Parlimen bukan mudah, khususnya bagi sesiapa yang ingin mencabar Datuk Seri Bung Moktar Radin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Namun, pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), 29 November ini, Bung Moktar bakal berdepan cabaran anak muda yang bertekad mahu melakar pembaharuan di DUN Lamag melalui idea dan usaha pemimpin baharu.
Itu tekad disuarakan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Johainizamshah Johari selepas diumumkan sebagai calon gabungan parti tempatan Sabah itu yang akan mencabar Bung Moktar di DUN Lamag.
Ditemui pada pengumunan calon GRS oleh Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, kelmarin, Johainizamshah, 39, mengakui pencalonannya adalah satu tanggungjawab yang besar kerana bukan mudah untuk menawan kerusi berkenaan.
“Ini satu tanggungjawab yang cukup besar bagi saya untuk dipikul, tapi insyaAllah kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi pilihan raya ini, khususnya saya di DUN Lamag,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lamag itu tetap yakin untuk berdepan dengan nama besar yang disegani di DUN Lamag berdasarkan kekuatannya sebagai seorang anak muda.
Beliau mengakui ada kelemahan yang mungkin membuat dirinya berdepan kesukaran menghadapi saingan Bung Moktar dan calon lain yang bakal bertanding, lebih-lebih lagi sebagai orang yang pertama kali turun di gelanggang pilihan raya.
“Tapi kita sebagai manusia sudah tentu juga dilahirkan dengan kekuatan yang tersendiri dan kita yakin di Dun Lamag ini, kita ada sebanyak 13,000 lebih pengundi dengan kategori umur antara 18 tahun hingga 41 tahun mencecah 8,300 lebih.
“Sebenarnya golongan muda ini mempunyai satu kuasa yang besar untuk mengubah pentadbiran dan mengubah kepimpinan di DUN Lamag pada kali ini.
“Jadi anak-anak muda di luar sana, pada kali ini kita berpeluang untuk menilai kembali dan mencari pemimpin yang lebih kompeten untuk membangunkan kita di Lamag.
“Bukan kita cakap Datuk Bung tidak baik, beliau baik, sepanjang beliau memimpin sudah tentu ada jasanya, ada baiknya tetapi kita tidak boleh bersandarkan kepada sejarah lampau.
“Ia kerana kita perlu maju ke hadapan sebab Kinabatangan ini layak untuk lebih maju di bawah pentadbiran kerajaan terutamanya dengan pencapaian yang kita sepanjang pentadbiran GRS,” katanya.
Beliau yang sebelum ini dilantik sebagai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Lamag, berkata usaha membawa pembaharuan di kawasan itu sudah dimulakan atas inisiatif pemimpin muda sejak beberapa tahun lalu
“Pada Februari 2023, saya diberi tanggungjawab PPM di kawasan Lamag dan dalam tempoh tiga tahun itu, kita berjaya membawa satu pelaburan yang dinamakan projek pembangunan bandar baharu Sri Milian.
“Misi kita pada ketika itu adalah untuk membawa pelaburan di kawasan ini dengan visi untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan di Lamag supaya kita dapat tingkatkan ekonomi rakyat,” katanya. – Info X