PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyasarkan lebih 20 kerusi untuk ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Menerusi satu kenyataan, Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata senarai calon parti itu akan dikongsikan kepada media petang ini.
Katanya, beliau tidak akan membuat pengumuman calon seperti dibuat parti lain, sebaliknya akan mendedahkan senarai calon melalui siaran media.
“Saya ingin mengesahkan UPKO akan bertanding tidak kurang daripada 20 kerusi dalam pilihanraya umum Sabah kali ini.
“Saya akan memberikan senarai calon UPKO lewat petang ini melalui siaran media.
“Calon-calon ini terdiri daripada pelbagai latar belakang akademik, pengalaman, kepimpinan dan khidmat kepada kawasan yang diwakili masing-masing.
“Mereka akan mewakili UPKO dan menawarkan kepimpinan mereka di kawasan masing-masing berdasarkan kepada tanda aras prinsip perjuangan dan khidmat rakyat yang telah saya laksanakan selama ini sebagai Presiden UPKO.
“Mereka juga akan menjelajah ke seluruh pelusuk kampung, kejiranan dan pekan untuk menawarkan perjuangan Sabah First,” katanya.
Isnin lalu Ewon mengumumkan keputusan parti pimpinannya untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH) setelah dipercayai tidak berpuas hati atas layanan diterima parti itu.
Difahamkan, sebelum ini PH hanya ditawarkan dua kerusi di bawah gabungan itu, berbanding lebih 10 PKR dan lapan DAP. – Info X