Search

PRU Sabah: Gabungan artis, pemain bola sepak dan calon wanita muda lengkapi cabaran KDM ke Menara Kinabalu

November 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Artis terkenal dan pemain bola sepak, selain pemangku presiden wanita muda antara taruhan penting Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November ini.

Berstatus anak presiden, Priscella Peter yang baru berusia 27 tahun bukan saja memegang amanah menerajui parti yang diasaskan ayahnya, Datuk Peter Anthony, malah mengetuai barisan 40 calon KDM yang bakal turun gelanggang mulai hari penamaan calon esok, 15 November 2025.

Lebih penting, beliau menggantikan Peter untuk mempertahankan kerusi DUN Melalap yang menjadi kubu kuatnya sejak 2018, dengan kali ini berdepan cabaran calon parti yang pernah diwakili Peter, Parti Warisan.

Priscella turut berdepan calon muka sama yang menentang Peter pada 2020, Datuk Jamawi Jaafar yang kali ini bertanding tiket Pakatan Harapan (PH) berbanding Barisan Nasional (BN) pada 2020.

Rakyat Melalap akan menentukan sama ada Pricella berjaya mempertahankan kerusi disandang Peter itu, namun wanita muda berkenaan pastinya menjadi perhatian sebagai ikon baharu anak muda, lebih-lebih lagi beliau satu-satunya wanita muda dalam pimpinan tertinggi mana-mana parti di Sabah setakat ini.

Bukan setakat calon wanita muda, KDM turut dikelilingi calon pelbagai latar belakang yang menjadikan parti itu unik dan mampu mengetengahkan pemimpin baharu berpengalaman dalam pelbagai bidang bagi mentadbir negeri jika berjaya membentuk kerajaan.

Seorang daripada mereka, artis terkenal berasal dari Kinabatangan, Abu Bakar Ellah turut ditampilkan sebagai antara calon berpotensi menyumbang kerusi untuk KDM pada PRU Sabah Ke-17.

Popular dengan lagu ‘Orang Kita’, Abu Bakar bakal bertanding di kerusi DUN Kuamut untuk mencabar penyandang kerusi berkenaan, Datuk Masiung Banah yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Abu Bakar bukan baharu dalam arena politik, malah beliau pernah bertanding atas tiket Bebas di kerusi yang sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, namun tewas di tangan calon BN pada masa itu, Datuk Johnny Intang.

Selain itu, dua bekas pemain bola sepak Sabah diberi kepercayaan untuk membawa cabaran KDM pada pilihan raya kali ini, sekali gus menambahkan lagi kepelbagaian calon parti itu yang mungkin tidak dapat dilihat dalam parti lain.

Kedua-dua mereka, Henry Saimpon dan Jekerison Kilan, masing-masing akan bertanding atas tiket KDM di kerusi DUN Kiulu dan Nabawan.

Di Kiulu, Henry bakal mencabar penyandang kerusi berkenaan, Datuk Joniston Bangkuai yang akan mempertahankannya, kali ini atas tiket GRS, berbanding tiket Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 2020.

Jekerison yang dikenali sebagai antara pemain hebat bola sepak Sabah pada awal hingga akhir 1990-an pula akan mencabar penyandang kerusi DUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang akan mempertahankan kerusi itu atas tiket GRS.

Henry pula mula menyertai skuad bola sepak Sabah pada akhir 1990-an hingga 2009, sebelum bakatnya ditagih semula untuk mengurus pasukan bola sepak dari 2019 hingga 2020 dan kemudian beralih ke bidang politik.

Dengan penampilan pelbagai latar belakang calon, termasuk bakat politik yang ada dalam sebahagian besar calonnya, KDM yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya negeri menerusi PRU Sabah Ke-17 dilihat cukup lengkap dan bersedia mengharungi cabaran pesta demokrasi.

Tidak ketinggalan Timbalan Presidennya, Datuk Wetron Bahanda yang mengambil keputusan meninggalkan kerusi disandangnya di DUN Bandau untuk berpindah ke kerusi DUN Matunggong, juga seorang lagi calon ‘mampu menang’ untuk menyumbang satu kerusi kepada KDM.

Tidak keterlaluan jika dikatakan gabungan calon parti berlambang bunga Raflesia yang diketuai Priscella itu mampu menggegar, malah menawan Menara Kinabalu yang menjadi rebutan hampir 20 parti dan empat gabungan politik pada PRU Sabah Ke-17, 29 November ini. – Info X