Search

KPD Kudat henti kereta, selamatkan mangsa kemalangan dalam perjalanan tugas

November 16, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Ketika orang ramai sibuk menuju ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, pagi semalam, Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim pula ‘memecut’ ke arah kemalangan di KM1 Jalan Kudat ketika dalam perjalanan menjalankan tugas keselamatan PRU.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Mohd Haris yang dalam perjalanan ke Dewan Tun Mustapha untuk tugasan rasmi, terlihat sebuah kenderaan terlibat dalam kemalangan.

Tanpa berlengah, beliau terus menghentikan kenderaan peribadinya sebelum turun memberi bantuan awal kepada mangsa yang cedera.

Beliau bukan sekadar memantau dari jauh, sebaliknya membantu menenangkan mangsa, mengawal trafik dan memastikan kawasan kejadian selamat sementara menunggu ketibaan pasukan perubatan.

Tindakannya turut menarik perhatian pengguna jalan lain yang memuji sikap tanggungjawab serta keprihatinan beliau dalam situasi kecemasan.

Meskipun sedang menuju ke tugas penting berkaitan PRU, keutamaan beliau tetap diberikan kepada keselamatan orang awam.

Tindakan spontan itu sekaligus mencerminkan semangat sebenar Polis Diraja Malaysia (PDRM), sentiasa ada untuk masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan.

Pengorbanan kecil namun signifikan ini menguatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap komitmen pasukan keselamatan. – Info X