KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Penarikan diri beliau diumumkan menerusi satu kenyataan hari ini, iaitu tiga hari selepas penamaan calon pada Sabtu lalu.
Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengadakan perbincangan yang teliti bersama pihak kepimpinan teratas PH dan pertimbangan yang mendalam.
“Saya ingin menegaskan bahawa ini adalah keputusan peribadi yang saya buat tanpa sebarang tekanan atau perundingan dengan pihak luar.
“Keputusan ini juga dibuat berdasarkan pertimbangan yang matang demi menjaga hubungan baik dan keharmonian bersama-sama rakan kerjasama parti yang lain.
“Saya percaya bahawa perpaduan dan kerjasama antara PH dan parti yang lain adalah lebih penting untuk masa depan politik negeri kita,” katanya.
Katanya, walaupun tidak bertanding pada pilihan raya kali ini, beliau tetap komited dan akan terus berusaha untuk memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan Silam serta Lahad Datu seluruhnya agar sentiasa terjaga dan terbela.
“Perjuangan untuk rakyat tidak pernah berhenti dan saya akan terus menyumbang dalam apa jua kapasiti yang mungkin untuk membangunkan kawasan ini dan memastikan suara rakyat terus didengari.
“Saya juga percaya sepenuhnya bahawa Kerajaan Madani akan terus komited bersama-sama wakil-wakil rakyat yang dipilih nanti untuk bersama-sama membangunkan negeri Sabah yang kita sayangi ini,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan PH atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan, jentera dan ahli parti yang bekerja keras dan rakyat Silam serta Lahad Datu atas sokongan moral dan kepercayaan yang diberikan kepada beliau selama ini.
“Semoga pilihan raya kali ini akan melahirkan pemimpin yang benar-benar prihatin dan berusaha untuk kesejahteraan rakyat.
“Penarikan diri saya ini adalah rasmi dan berkuat kuasa pada hari ini iaitu 17 November 2025,” katanya. – Info X