KOTA KINABALU: Sabah mencatat jumlah projek tertinggi berbanding negeri lain iaitu sebanyak 1,294 projek dengan prestasi perbelanjaan bagi Rolling Plan 5 (RP5) RMKe-12 mencapai 70.13 peratus sehingga 3 November 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata peratusan itu mewakili sebanyak RM4.17 bilion berbanding peruntukan asal sebanyak RM5.94 bilion.
“Secara keseluruhannya, prestasi perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) bagi Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP5 RMKe-12) sehingga 3 November 2025 di peringkat nasional ialah 71.97 peratus atau sebanyak RM61.89 bilion berbanding peruntukan asal berjumlah RM86 bilion bagi keseluruhan 9,516 projek.
“Daripada jumlah itu, Sabah yang mencatat jumlah projek tertinggi berbanding negeri lain iaitu sebanyak 1,294 projek dengan prestasi perbelanjaan bagi Rolling Plan 5 (RP5) RMKe-12 mencapai 70.13 peratus sehingga 3 November 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat. Khas Penyelarasan Pemantauan Program / Projek Pembangunan Negeri Sabah 2025, di sini, pada Isnin.
Melalui platform itu, katanya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat bersama-sama meneliti, berbincang dan berkongsi pandangan mengenai isu yang berbangkit bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di Sabah dapat diatur gerak dengan lancar dan sempurna.
“Antara isu kelewatan adalah disebabkan kelemahan kontraktor, bekalan bahan dan faktor cuaca. Hasil daripada perbincangan, sembilan projek Lewat Jadual (Sakit) akan dapat disiapkan pada suku tahun pertama 2026,” katanya.
Beliau berkata, selaras dengan pengumuman Belanjawan Tahun 2026, terdapat sebanyak 1,143 program/projek dengan peruntukan sebanyak RM6.89 bilion dilaksanakan di Sabah.
Daripada jumlah itu, katanya 188 program/projek adalah program/projek baharu, antaranya ialah projek Talian Penghantaran Southern Link (Fasa 1A) di Pantai Timur Sabah di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Turut dilaksanakan, katanya ialah rojek Pembinaan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II (QEH2) di bawah Kementerian Kesihatan dan projek Membina Jalan Baharu Dari Kalabakan ke Simanggaris (Sempadan Malaysia – Indonesia), Kalabakan di bawah Kementerian Kerja Raya.
Bagi prestasi projek pembangunan PETRA di negeri Sabah, katanya prestasi terkini perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) PETRA bagi Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP5 RMKe-12) adalah RM674.3 juta bersamaan 94.5 peratus dari peruntukan tahun 2025 berjumlah RM713.1 juta.
Katanya, prestasi itu adalah perbelanjaan ke atas 88 projek merangkumi 27 projek berkaitan tebatan banjir, mencegah hakisan pantai dan pemuliharaan sungai; 17 projek bekalan air; 16 projek perkhidmatan pembetungan dan 28 projek pengukuhan bekalan elektrik.
“Susulan pengumuman Belanjawan Tahun 2026, terdapat sebanyak 88 projek merangkumi 74 projek sambungan dan 14 projek baharu di bawah PETRA. Antara projek baharu PETRA yang menjadi tumpuan bagi tahun 2026 adalah:
“Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Moyog melibatkan Kerja-kerja Pembinaan Ban, Menaik taraf Sungai Moyog dan kerja-kerja berkaitan (Pakej 2A, pakej 3A dan pakej 4) dengan kos projek sebanyak RM252 juta;
“Pemasangan Paip Transmisi dan Agihan Utama Termasuk Tangki Simpanan di Sebahagian Kawasan Bandar Tawau dengan kos projek sebanyak RM236.6 juta.
“Dan Menaik Taraf Kolam Pengoksidaan Inanam Kepada Loji Rawatan Kumbahan Serantau – bagi Kawasan Tadahan Tengah, Inanam, Kota Kinabalu dengan kos projek sebanyak RM536 juta,” katanya. – Info X