KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor menegaskan gabungan itu kekal utuh dan kuat meskipun segelintir pemimpin bertindak meninggalkan parti menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Beliau berkata, tindakan beberapa individu yang memilih untuk berpindah parti atau bertanding sebagai calon Bebas adalah hak masing-masing, namun tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam menghadapi pilihan raya.
“GRS masih intact, masih kuat. Ada yang pindah parti, ada yang jadi calon Bebas, itu hak mereka. Tapi itu tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam pilihan raya kali ini. Kita juga ada strategi sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Isnin.
Hajiji ditanya mengenai perkembangan terbaharu membabitkan beberapa pihak yang menarik diri daripada gabungan tertentu.
Mengenai calon Pakatan Harapan (PH) yang membuat keputusan menarik diri, Hajiji berkata, perkara berkenaan membabitkan PH dan beliau enggan mengulas lanjut.
“Itu dia tarik diri, itu parti PH. Saya tidak mahu komen,” katanya.
Bagaimanapun, Hajiji tidak menolak kemungkinan tindakan itu memberi kelebihan kepada GRS di kerusi yang ditandingi.
Hajiji menegaskan fokus GRS kini adalah untuk memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan memastikan gabungan itu memperoleh mandat jelas daripada rakyat Sabah. – Info X