KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmennya dalam meraikan kepelbagaian dan menghormati hak serta kepentingan setiap kaum dan agama di negeri ini.
Perkara itu terkandung dalam senarai utama Rukun Keempat: Sabah United, Manifesto GRS bagi PRU Sabah Ke-17 yang dibentangkan pada Isnin.
Ia disusuli perkara kedua yang menekankan prinsip inklusiviti untuk memastikan setiap anak Sabah dan segmen masyarakat diberikan akses dan peluang saksama dalam peningkatan mobiliti sosial dan tiada golongan yang terpinggir.
Ketiga, rukun keempat itu turut menggariskan usaha memupuk nilai kekitaan dan pertanggungjawaban bersama dalam memperjuangkan agenda Sabah Diutamakan (Sabah First) serta gagasan Rumah Kita, Kita Jaga.
Akhir sekali, GRS juga komited dalam usaha memaknai keberadaan GRS sebagai platform menyatukan parti-parti lokal bagi membina kestabilan politik negeri sekali gus memperkukuhkan kuasa politik Sabah dalam Persekutuan Malaysia. – Info X