KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sudah mengeluarkan sebanyak 22,881 kertas undi pos kepada semua yang layak untuk mengundi sebagai pengundi pos pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Setiausaha SPR Malaysia, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, ia seperti yang diperuntukkan di bawa Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundi Pos) 2003 bagi PRU Sabah Ke-17.
Katanya, pengeluaran kertas undi pos pada 17 hingga 18 November 2025 dijalankan oleh petugas undi pos di semua 73 Bahagian Pilihan Raya Negeri.
“Semua 22,881 kertas undi pos itu terdiri daripada 21,362 kertas undi pos bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media.
“336 kertas undi pos bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) dan 1,183 kertas undi pos bagi kategori 1C (Agensi/Organisasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejan undi pos daripada parti atau individu yang bertanding.
Sementara itu, Khairul berkata SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi dengan betul serta mengisi Borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) secara lengkap dan tepat.
“Kertas undi yang sudah ditandakan perlu segera dikembalikan kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi, iaitu pada 29 November 2025 (Sabtu).
“Pengundi juga diingatkan supaya sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya. – Info X