KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) menegaskan tanggungjawab wakil gabungan itu dari Sabah untuk membawa suara rakyat negeri ini ke Putrajaya.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, berkata kewujudan mereka bukan untuk membawa Putrajaya menguasai negeri ini.
“Dalam landskap politik hari ini, persoalan paling penting bukan sekadar siapa yang paling lantang, tetapi siapa yang benar-benar mampu membawa suara rakyat Sabah ke meja keputusan nasional. Di sinilah peranan BN Sabah membezakan dirinya daripada gimik politik semasa.
“Sebagai anak jati Sabah, kami bukan datang ke Putrajaya untuk menumpang kuasa. Kami datang untuk mengangkat suara. Kami bukan simbol, kami adalah wakil sebenar rakyat Sabah di pusat pentadbiran negara.
“Sistem politik persekutuan tidak bergerak dengan sorakan, emosi atau slogan. Ia bergerak melalui kuasa, hubungan institusi, dan keupayaan mempengaruhi dasar.
“Dalam kerangka ini, BN Sabah memainkan peranan strategik sebagai jambatan rasmi antara negeri dan kerajaan Persekutuan untuk memastikan setiap dasar nasional diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Calon kerusi DUN Sungai Sibuga itu, berkata parti lokal boleh melaungkan tuntutan dari jauh, tetapi dalam teori dan amalan politik, hanya pihak yang memiliki saluran kuasa dapat mengubah tuntutan menjadi pelaksanaan.
“Di sinilah BN membezakan diri daripada parti lawan, kami bukan sekadar menyuarakan kehendak Sabah, kami mempunyai akses, kapasiti dan mandat untuk memastikan kehendak itu dilaksanakan.
“Ada pihak cuba menanam sentimen anti Semenanjung, anti Malaya, kononnya itu jalan untuk menunjukkan kekuatan Sabah.
“Itu bukan kekuatan, itu strategi defisit yang dilakukan pemimpin politik parti lawan demi kepentingan politik mereka,” katanya.
Ketua Penerangan UMNO Sabah itu, berkata kekuatan Sabah tidak lahir daripada bermusuhan, sebaliknya lahir daripada kedudukan yang dihormati, hubungan yang matang dan kemampuan berunding di meja pusat.
“Sabah tidak perlu bermusuh atau menanam sentimen anti Semenanjung untuk dihormati, Sabah hanya perlu kuat untuk didengari.
“Inilah prinsip kepimpinan BN Sabah, suara yang berasaskan fakta, kedudukan yang berasaskan pengalaman dan perjuangan yang berasaskan hasil, bukan emosi sementara,” katanya. – Info X