TUARAN: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, di sini, mungkin boleh dikatakan kubu kuat Parti Bersatu Sabah (PBS) selepas beberapa cubaan menumbangkan calon dari parti ‘otai’ itu gagal pada siri-siri pilihan raya lalu.
Bagaimanapun, penguasaan PBS yang menggunakan tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi berkenaan dilihat sudah mulai goyah, lebih-lebih lagi dengan kehadiran calon baharu yang mewakili parti tempatan.
Antara calon yang dijangka mampu memberi saingan sengit kepada calon PBS yang juga penyandang kerusi itu sejak tiga penggal lalu, Datuk Joniston Bangkuai ialah calon dari parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Henry Saimpon.
Walaupun Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah) merupakan penampilan pertama Henry sebagai calon, namun nama anak jati Kampung Bongol, Kiulu itu semakin kembang mekar seperti bunga Rafflesia, yang menjadi logo parti KDM.
Bagaimanapun, ia bukanlah satu tugas mudah bagi KDM, lebih-lebih lagi dengan kehadiran parti-parti lain yang menganggap mereka parti ‘original Sabahan’ sehingga mewujudkan pertandingan lapan penjuru.
Mungkin apabila kita sebut saja nama Henry Saimpon, sudah pastinya yang bermain dalam fikiran ialah bekas pemain bola sepak Sabah.
Namun, di sebalik namanya yang pernah gah dalam arena bola sepak, Henry sebenarnya bukan sahaja mempunyai banyak kebolehan lain, malah beliau juga seorang yang berpendidikan tinggi.
Henry merupakan graduan Universiti Teknologi Mara yang telah menggengam Ijazah Sarjanah (Master) dalam jurusan Sains Politik.
Sifat kepimpinan sederhana dan mesra Henry juga menjadi antara kekuatan beliau untuk mencipta kejutan pada PRU DU Sabah Ke-17 kali ini.
Sementara itu, dua lagi parti yang dilihat mampu memberi saingan ialah Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Upko, parti yang baru ‘putus cinta’ dengan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, laluan dua parti itu sedikit mencabar atas faktor calon STAR, Terence Sinti telah pernah kecundang di Kiulu sebelum ini manakala Upko dengan statusnya yang baru meninggalkan PH dan masih sedang mempromosikan jenama ‘Sabah First’ mereka.
Kiulu mempunyai 17,191 pengundi berdaftar dengan majoriti besarnya terdiri dari kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).
PRU DU Sabah Ke-17 kali ini menyaksikan pertandingan lapan penjuru iaitu GRS (Datuk Joniston Bangkuai), KDM (Henry Saimpon), STAR (Terence Sinti), Upko (Joisin Romut), Parti Kebangsaan Sabah (Dusi Gungging), Parti Kerjasama Anak Negeri (Trevor Maringking), Warisan (Saibin Gunsari), dan Parti Impian Sabah (Niyki @ Niky J. Bosikol). – Info X