LAHAD DATU: Sebuah vesel pukat jerut bilis yang dikesan beroperasi terlalu hampir dengan daratan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam operasi penguatkuasaan di perairan Telukan, di sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 1.30 tengah hari pada kedudukan 0.9 batu nautika timur Tanjung Bangkuruan menerusi Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0.
“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong warga asing berusia 37 tahun, bersama tiga kru berusia 23 hingga 36 tahun.
“Hasil semakan lanjut mendapati vesel ini melanggar Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi kurang daripada jarak ditetapkan dari daratan terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha bot yang ingkar syarat lesen, khususnya yang beroperasi di zon larangan.
“Peraturan jarak operasi diwujudkan bagi melindungi ekosistem marin dan memastikan sumber perikanan negara kekal mampan.
“Kesemua kru, vesel dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim supaya terus mematuhi undang-undang laut dan segera menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999. – Info X