Search

PRU Sabah: Datuk Bob mahu berkhidmat sehabis baik untuk Darau

November 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Mohd Razali Razi, memberi jaminan akan melakukan sehabis baik untuk rakyat Darau jika menang di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada 29 November ini.

Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, sebagai pemimpin yang sudah lama bekerja di lapangan beliau memahami kehendak rakyat Darau daripada wakil rakyat yang mereka pilih nanti.

“Saya orang sini, saya faham kehendak dan aspirasi orang sini. Jangan susah hati, tidak ada calon import, inilah Bob.

“InsyaAllah kalau kamu beri kepercayaan kepada saya, saya akan buat sebaiknya dengan ikhlas,” katanya yang lebih mesra disapa sebagai Bob atau Datuk Bob.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan bersama pengundi Darau di Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, pada Selasa.

Datuk Bob bersama penyokong GRS Darau di Kampung Kalansanan.

Sempena majlis itu Razali turut menerima kemasukan kira-kira 300 bekas ahli Parti Warisan yang membuat keputusan meninggalkan parti dan menyokong Gagasan Rakyat serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Razali menjelaskan perkara itu bagi meyakinkan rakyat Darau bahawa beliau adalah penduduk kawasan itu yang berasal dari Kampung Likas dan sudah bekerja untuk rakyat Darau sejak lebih tiga tahun lalu.

Kataya, berbeza dengan pemimpin parti lain yang muncul menabur janji politik lima tahun sekali, beliau sudah lama mendekati rakyat kawasan itu tanpa mengira bila pilihan raya.

“Setiap lima tahun sekali rakyat mendengar janji politik, sampai ke satu tahap kamu akan rasa bosan kerana perangai orang politik sama saja, lima tahun sekali muncul, kemudian hilang sebelum datang lagi.

“Tapi kita sudah banyak turun sebelum pilihan raya lagi, parti kita bergerak sebelum saya sah jadi calon, rajin-rajinlah tengok apa yang kita sudah lakukan di Darau melalui TikTok dan Facebook Razali Razi,” katanya.

Dalam pada itu, Razali mengingatkan pengundi di Darau supaya tidak menjadikan latar belakang bangsa dan agama sebagai perbezaan.

Katanya, ia penting kerana ada pihak yang menggunakan bangsa dan agama untuk meraih undi sedangkan yang utama adalah keikhlasan dalam meneruskan amal tanpa bosan.

“Apa yang kita mahu adalah keredaan, kerahmatan, jangan guna lidah membohong untuk pancing undi dan cari sokongan untuk kemenangan. Cukuplah orang Sabah dipecahkan dengan sempadan seperti ini.

“Kalau mahu maju kena sokong satu wakil, sayang jika setiap lima tahun tukar, projek kerajaan sepatutnya diteruskan, bukan ditukar kerana akhirnya nanti rakyat yang rugi.

“Cubalah kali ini satukan hati dengan keyakinan bahawa di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kita dapat mencapai kemakmuran bersama,” katanya.

Sementara itu, Razali berkata beliau sudah merancang beberapa pembaharuan untuk dilaksanakan di Darau jika diberi mandat pada PRU Sabah Ke-17.

Lankah pertama, katanya beliau akan mewujudkan Majlis Pengurusan dan Pembangunan Kampung sebagai saluran komunikasi untuk pemimpin kampung seperti ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), aktivis badan bukan kerajaan (NGO) dan belia membincangkan isu setiap kampung.

“Jadi, kita akan dapat mengurus kampung secara telus, tidak lagi orang cakap kita buat mesyuarat di rumah dan saya sendiri akan mempengerusikan majlis ini.

“Kedua, kita merancang untuk memindahkan Klinik Kesihatan Likas ke lokasi yang lebih luas menerusi ‘land swap’ bagi mengatasi masalah kawasan klinik yang sempit ketika ini,” katanya.

Razali berkata, beliau juga merancang untuk mewujudkan pusat belia di setiap kampung dan menambah program keusahawanan belia bagi membantu golongan itu. – Info X