Search

PRU Sabah: Arfanshah tumpu perkasa bidang TVET

November 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Agenda memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) digariskan antara keutamaan bagi membantu belia di Sepanggar, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau.

Perkara itu ditekankan calon Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Darau, Arfanshah Abdul Gafar dalam usaha memartabat golongan belia di kawasan itu jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November ini.

Katanya, beliau mahu melihat semua belia di kawasan Sepanggar, termasuk di DUN Darau, malah di Sabah keseluruhannya diberi peluang mengikuti kursus kemahiran atau TVET, selain kelulusan akademik sebagai jaminan masa depan apabila memasuki alam pekerjaan.

“Selaku penyelaras TVET Sepanggar, kita mahu memperkasakan bidang ini sebagai pilihan anak muda dan belia untuk melengkapkan diri dengan kemahiran berguna kerana kita tahu Sabah ini masih ramai belia yang menhanggur.

“Malah, ramai juga pelajar tercicir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi inilah pentingnya TVET ini terus dibangunkan di Sabah supaya anaksebagai pilihan kepada belia mendapat ilmu kemahiran untuk memasuki alam pekerjaan supaya ada mereka ada pendapatan,” katanya.

Arfanshah turut menegaskan bahawa dalam tempoh lima tahun, beliau berhasrat untuk menjadikan DUN Darau sebagai pengeluar tenaga mahir TVET terbesar di Sabah, sekali gus mengangkat imej kawasan itu sebagai hab kemahiran teknikal.

Beliau menjelaskan agenda itu pada program Santai Anak Muda di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Likas Darat yang dihadiri kira-kira 50 belia dari sekitar kawasan berkenaan, pada Selasa.

Calon anak muda yang dipertaruhkan BN untuk merampas kerusi DUN Darau dari Warisan itu turut menegaskan usahanya menyuarakan keluhan rakyat Darau berhubung isu kemudahan awam, termasuk air, elektrik dan masalah banjir yang menjejaskan kehidupan mereka.

“Perkara ini kita mahu fokus kerana walaupun kedudukan kita di kawasan pinggir bandar, masalah ini juga berlaku di sini. Jadi ini antara yang kita akan perjuangkan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga merancang untuk mengadakan ‘townhall’ bersama anak muda di DUN Darau sebagai platform mereka menyuarakan kemahuan, keperluan dan masalah membabitkan golongan muda.

“Suara anak muda yang di bawah ini akan kita angkat ke peringkat atas supaya didengari dan diambil tindakan kerana itu yang sebaiknya, bukan hanya mengarahkan sesiapa untuk turun ke bawah,” katanya.

Tumpuan kepada anak muda dan belia, katanya sejajar dengan komposisi golongan berkenaan yang mewakili kira-kira 60 peratus daripada jumlah pengundi kawasan berkenaan. – Info X