Search

PRU Sabah: Tambang bot percuma untuk murid, pelajar Pulau Gaya – Chan Foong Hin

November 20, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin, menggariskan aspirasi komprehensif untuk memajukan komuniti Pulau Gaya melalui peningkatan pendidikan, pengangkutan pelajar dan infrastruktur telekomunikasi yang lebih moden dan berdaya tahan.

Menerusi satu kenyataan, beliau menegaskan bahawa masa depan Pulau Gaya perlu diperkukuh dengan peluang yang adil, kemudahan asas yang lengkap dan sokongan konsisten kerajaan berikutan keadaan pulau itu yang terpinggir selama dua penggal.

Sebagai komitmen awal, Chan mengumumkan tawaran perkhidmatan tambang bot percuma kepada semua murid dan pelajar SK Pulau Gaya dan SMK Pulau Gaya sepanjang musim persekolahan.

“Perjalanan harian pelajar sering berdepan cabaran dan beban kewangan, justeru inisiatif ini bertujuan memastikan mereka dapat ke sekolah dengan selamat, lancar dan tanpa kos tambahan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa pendidikan berkualiti hanya dapat dicapai apabila akses ke sekolah tidak lagi menjadi halangan utama kepada anak-anak Pulau Gaya.

Dalam usaha memperkukuh prasarana pendidikan, beliau berkata Kerajaan MADANI telah meluluskan peruntukan RM260 juta bagi membina sebuah kompleks pendidikan baharu di kawasan daratan bagi memggantikan bangunan sekolah atas air di Pulau Gaya yang sering berisiko dilanda ribut dan hakisan ombak.

Awal bulan ini, Chan bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, telah turun melakukan lawatan tapak bagi meneliti kawasan pembangunan itu.

“Kompleks yang dicadangkan akan merangkumi pembinaan semula sepenuhnya SK Pulau Gaya dan SMK Pulau Gaya, masing-masing dilengkapi 36 bilik darjah, dewan besar, padang sukan serta pelbagai kemudahan sokongan lain,” katanya

Chan menyatakan keyakinannya bahawa projek itu bakal menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat, di samping memastikan pelajar tidak lagi perlu menyewa padang di bandar bagi aktiviti sukan dan kokurikulum.

Selain pendidikan, beliau turut memberi penekanan terhadap keperluan akses digital moden yang setara dengan kawasan bandar lain.

Katanya, ramai penduduk Pulau Gaya berdepan kesukaran akibat liputan internet yang lemah sehingga menjejaskan urusan harian.

“Saya sendiri turut mengalami masalah menghantar mesej dan membuat panggilan setiap kali berada di pulau ini,” katanya

Bagi mengatasi isu ini, katanya beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching bagi menyampaikan keluhan penduduk pada minggu lalu.

“Satu berita baik disampaikan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bahawa sebuah menara telekomunikasi setinggi 30 meter dengan liputan 5G penuh diluluskan untuk dibina di Kampung Kasuapan.

“Ini satu perkembangan penting yang dijangka membuka lembaran baharu dalam penyediaan rangkaian moden di Pulau Gaya,” katanya.

Chan menegaskan keseluruhan inisiatif itu mencerminkan iltizam PH untuk memastikan komuniti Pulau Gaya tidak lagi tercicir dalam pembangunan asas.

Beliau mahu penduduk Pulau Gaya menikmati kemudahan yang adil, moden dan setara dengan penduduk di mana-mana kawasan lain di bandar.

“Penduduk kampung Pulau Gaya berhak menerima peluang yang sama. Dengan sokongan Kerajaan MADANI, kita dapat memastikan tiada komuniti yang terus dipinggirkan daripada arus pembangunan,” katanya. – Info X