Search

PRU Sabah: GRS komited laksanakan keadilan dan kesaksamaan untuk rakyat – KM

November 20, 2025

Info X Reporters

BEAUFORT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertekad menjadi sebuah kerajaan yang adil dan saksama, satu prinsip yang ingin terus dipertahankannya jika diberikan mandat baharu pada 29 November ini.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata GRS mempunyai agenda jelas untuk melaksanakan perkara itu seperti yang digariskan dalam manifesto pilihan rayanya yang menampilkan empat teras, Sabah Diutamakan (Sabah First), Sabah Ke Hadapan (Sabah Forward), Sabah Maju Jaya (Sabah Prosper) dan Sabah Bersatu Hati (Sabah United).

“GRS telah membuktikan keupayaannya mentadbir negeri dengan berkesan sepanjang lima tahun lalu. Kita telah berjaya memajukan Sabah melalui pelbagai inisiatif.

“Kita juga telah membantu rakyat di seluruh Sabah tanpa mengira kaum atau agama, GRS benar-benar komited dalam pembangunan Sabah. Justeru, kita memohon mandat baharu untuk meneruskan perancangan ini,” katanya pada majlis bersama rakyat di Dataran Begandang, di sini, pada Rabu.

Turut hadir calon GRS Klias, Datuk Isnin Aliasnih dan calon GRS Lumadan, Datuk Ruslan Muharam; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ketua Wanita GRS, Datuk Azizah Mohd Dun.

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri pimpinan GRS mencapai kejayaan besar, khususnya dalam usaha memulihkan ekonomi Sabah selepas pandemik Covid-19 melalui inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Sebagai contoh, beliau berkata penduduk Sipitang dan kawasan sekitarnya seperti Lumadan dan Klias akan menerima manfaat daripada limpahan ekonomi pembangunan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Perjanjian telah ditandatangani dengan banyak syarikat untuk memulakan operasi mereka dan kini SOGIP telah terisi sepenuhnya,” katanya.

Hajiji menegaskan, walaupun Kerajaan Negeri pimpinan GRS memberi tumpuan kepada projek-projek mega untuk pembangunan Sabah, kebajikan rakyat tidak pernah diabaikan

“Apabila kita kembali menjadi kerajaan pada 29 November nanti, kita akan mempertimbangkan pemberian bantuan kepada semua warga emas layak berusia 60 tahun ke atas. Inilah hasrat kami, kita mahu membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh lima tahun lalu, jumlah penerima kebajikan meningkat daripada 30,000 kepada 70,000 orang dengan setiap individu menerima bantuan sehingga RM300 sebulan.

Hajiji menambah mulai tahun ini, kira-kira 100,000 ketua isi rumah yang tersenarai dalam program e-Kasih turut menerima RM300 setiap bulan.

“GRS akan meneruskan inisiatif ini selain memperkenalkan yang baharu demi kebajikan rakyat dan kemajuan Sabah apabila kembali menjadi kerajaan,” katanya.

Calon GRS Sulaman itu turut menggesa jentera pilihan raya gabungan berkenaan supaya terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon masing-masing. – Info X