Search

PRU Sabah: BN akan fast track projek air, reformasi SESB selesai masalah air, elektrik – Suhaimi

November 20, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali yang mendakwa kerajaan GRS ‘hilang’ dua tahun disebabkan pemimpin UMNO disifatkan sebagai usaha untuk mengalih tumpuan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata dakwaan kononnya tindakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika dalam kerajaan negeri ini adalah cubaan mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan yang lebih besar dalam pentadbiran GRS.

“Untuk makluman Armizan yang terjerumus dalam kelemahan pentadbiran GRS, kelewatan projek-projek kritikal yang disebut Armizan adalah berpunca daripada masalah sistemik yang sudah lama membelenggu pentadbiran teknikal negeri, khususnya birokrasi JANS yang terlalu kompleks, proses perolehan yang perlahan dan berlapis dan penyelarasan bersama pembiayaan Persekutuan.

“Ia ditambah lagi apabila isu-isu ini tidak dapat ditangani kerana kelemahan kepimpinan politik GRS dalam mentadbir sehingga menyebabkan berlakunya ‘decision paralysis’ terhadap projek-projek major.

“Jadi Armizan, ini menunjukkan bahawa masalah tersebut bukan berpunca daripada seorang menteri, tetapi daripada kegagalan kepimpinan utama GRS mengurus kerajaan gabungan dengan efektif.

“Tapi seperti biasa, apabila gagal, mereka memilih untuk menyalahkan orang lain.Taktik politik sebegitu sudah dijangka dan tidak membawa nilai tambah kepada rakyat Sabah,” jawabnya dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, Armizan mendakwa Bung Moktar adalah Menteri Kerja Raya yang gagal ketika memegang jawatan itu berikutan kegagalan melaksanakan beberapa projek penting air dan elektrik, menyebabkan kerajaan Sabah ‘kehilangan’ dua tahun pentadbiran dari 2021 hingga 2022.

Suhaimi yang juga calon Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN Sungai Sibuga, berkata walaupun GRS memilih untuk menuding jari, BN hadir dengan ‘roadmap’ yang jelas untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur negeri.

“Pertama, kita akan Fast-Track Projek Air kepada tempoh 12 hingga 18 bulan. BN beriltizam melaksanakan mekanisme Fast-Track Procurement bagi projek air kritikal supaya proses reka bentuk, tender dan kelulusan dapat disiapkan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan sahaja, bukan bertahun-tahun seperti di bawah GRS. Pendekatan ini juga mengelakkan peningkatan kos tidak munasabah seperti kes Projek Kogopon.

“Kedua, BN akan menubuhkan Project Delivery Unit (PDU). BN akan menubuhkan PDU di bawah Pejabat Ketua Menteri bagi memantau tender, pembiayaan dan isu tanah projek strategik. PDU akan menghapuskan kelewatan akibat decision paralysis serta menyelaras jabatan teknikal yang selama ini melambatkan banyak projek negeri.

“Ketiga. Kita akan laksanakan Reformasi Pengurusan SESB dan Grid Elektrik. Dengan kuasa kawal selia elektrik yang dipindahkan kepada Sabah pada Januari 2024, BN akan menyusun semula Lembaga Pengarah SESB berasaskan kepakaran teknikal.

“Memberi keutamaan kepada pelaburan grid jangka panjang termasuk Southern Link dan Menjamin kestabilan bekalan elektrik dalam tempoh lima hingga lapan ahun,” katanya.

Suhaimi berkata, Armizan memang dikenali dengan kelemahan kalau bertutur termasuk membuat tuduhan, namun rakyat boleh menilai siapa yang menawarkan solusi, siapa yang mempunyai pengalaman dan siapa yang benar-benar mampu melaksanakan.

“Beri mandat kepada BN, kita akan mempercepatkan projek air, menstabilkan grid elektrik, menghapuskan birokrasi yang melambatkan pembangunan dan mengembalikan Sabah ke landasan pembangunan sebenar,” katanya. – Info X