Search

PRU Sabah: Joe Arfan berpeluang cerah menangi kerusi DUN Darau

November 21, 2025

Info X Reporters

Oleh 𝘼𝙡𝙞𝙖𝙨 𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡𝙡𝙖𝙝

BERDEPAN calon senior dan berpengalaman mungkin satu cabaran yang agak sukar bagi seorang anak muda yang masih baharu dalam politik, lebih-lebih lagi bertanding pada pilihan raya yang disifatkan paling sengit dalam sejarah Sabah.

Namun, pada usia 38 tahun, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Arfanshah Abdul Gafar, sudah bersedia mengharungi arus politik pilihan raya dan bersaing tanpa mengira siapa lawan di hadapan.

Selaku orang muda dan pertama kali turun gelanggang, semangat yang dibawa pasti jauh lebih besar dan tinggi, berbanding mereka yang sudah pernah bertanding dan merasai pengalaman menjadi calon, sama ada menang atau tidak pada pilihan raya – pilihan raya sebelum ini.

Semangat itulah yang dibawa Arfanshah atau lebih mesra disapa sebagai Joe untuk mendekati rakyat di seluruh pelusuk Darau, sama ada orang muda sebaya dengannya atau yang lebih muda dan mereka yang lebih berumur bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Tanpa rasa takut dan gentar, ditambah semangat tinggi demi memperjuangkan nasib rakyat Darau, Ketua Pemuda UMNO Sepanggar itu sebenarnya kini sebaris dengan lima lagi calon lain yang mempunyai misi sama mahu mewakili kerusi berkenaan selepas 29 November ini.

Maknanya, anak muda berkelulusan dalam bidang perakaunan dan kewangan dari Oxford Brookes University, England itu juga mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kerusi DUN Darau.

Jika dibandingkan penyandang kerusi itu, Azhar Matussin dari Parti Warisan, tiada jurang yang besar memisahkan antara mereka, begitu juga dengan empat lagi calon lain, berikutan status kerusi itu yang masih boleh dianggap ‘muda’.

Pada 2020, kerusi DUN Darau yang pertama kali dipertandingkan dimenangi Azhar hanya dengan perbezaan 562 undi meninggalkan Datuk Jumat Idris yang mewakili BN selaku pencabar terdekat pada masa itu.

Azhar mungkin memiliki kelebihan selaku penyandang, namun perubahan komposisi pengundi yang menyaksikan pengundi muda ‘menguasai’ sebahagian besar atau kira-kira 60 peratus daripada 33,016 jumlah pengundi ketika ini, membuka peluang luas kepada Arfanshah untuk memanfaatkan kelebihannya.

Meskipun bersaing dengan empat lagi calon baharu lain, terutama dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Mohd Razali Razi dan seorang calon wanita muda, Nabila Norsahar dari Perikatan Nasional (PN), Arfanshah masih mempunyai peluang yang baik untuk mengatasi mereka.

Dua lagi calon, masing-masing Meriah Osman dari Parti Impian Sabah (PIS) dan Nordin Thani dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dijangka kurang menyengat berdasarkan perkembangan di lapangan setelah seminggu kempen PRU Sabah Ke-17 bermula.

BN, selaku jenama yang sudah lama ‘establish’ pasti masih menjadi perhatian dan pilihan utama berdasarkan pencapaian gabungan itu dalam mentadbir Sabah sebelum ini.

Isu tempatan yang dicanang parti tertentu seperti Sabah First dan Sabah for Sabahan tidak memberi banyak kesan kepada pengundi, terutama orang muda dan kawasan bandar yang lebih berpendidikan dan terdedah kepada banyak kemudahan dibawa kerajaan, khususnya oleh BN sebelum ini.

Selaku sebahagian kawasan di pinggir bandar raya Kota Kinabalu, Darau boleh dianggap kawasan maju, kecuali beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan terutama isu banjir yang sering melanda beberapa kampung berhampiran sungai dan kurang sistem perparitan, selain penyelenggaraan kemudahan asas.

Masalah asas itu menjadi antara aspek yang diberi perhatian Arfanshah demi keselesaan dan kepentingan rakyat Darau jika diberi mandat mewakili kawasan itu pada 29 November ini.

Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Tun Ahmadshah itu juga komited menjaga kebajikan rakyat dan turut merancang usaha untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Tenikal dan Vokasional (TVET) demi kepentingan anak muda di Darau.

Sebagai anak muda, Arfanshah turut merancang usaha untuk membela nasib golongan belia menerusi perkongsian masalah dan kehendak mereka yang akan dilakukan dalam satu ‘townhall’ setelah memenangi kerusi DUN Darau nanti.

Darau pasti melakar perubahan di bawah pemantauan orang muda berwawasan seperti Arfanshah yang sudah pasti mempunyai banyak idea baharu untuk mengangkat DUN Darau sebagai sebuah kawasan yang lebih maju, terurus dan memberi imej yang baik kepada bandar raya Kota Kinabalu.

𝘼𝙧𝙩𝙞𝙠𝙚𝙡 𝙞𝙣𝙞 𝙖𝙙𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙥𝙖𝙣𝙙𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙣𝙪𝙡𝙞𝙨 𝙨𝙚𝙢𝙖𝙩𝙖-𝙢𝙖𝙩𝙖 𝙙𝙖𝙣 𝙩𝙞𝙙𝙖𝙠 𝙢𝙚𝙬𝙖𝙠𝙞𝙡𝙞 𝙥𝙚𝙣𝙙𝙞𝙧𝙞𝙖𝙣 𝙧𝙖𝙨𝙢𝙞 𝙄𝙣𝙛𝙤 𝙓