TAWAU: Perangai miang seorang pengawal keselamatan yang mencabul pekerja sebuah kedai runcit di Kampung Andrassy, di sini ketika wanita itu bertugas akhirnya terbongkar apabila dia diberkas polis, semalam.
Kejadian kira-kira jam 5 petang pada 16 November lalu, mangsa berusia 20 tahun sedang bertugas di kaunter pembayaran apabila suspek tiba-tiba menghampiri sebelum menyentuh bahagian badan wanita itu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika itu mangsa berada bersendirian dan terkejut dengan perbuatan berkenaan.
“Mangsa kemudian menepis tangan suspek sebelum segera keluar dari kaunter dan membuat laporan polis.
“Susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menjalankan siasatan dan menahan suspek di hadapan sebuah kedai tayar di Jalan Apas kira-kira jam 1.30 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil tangkapan, polis turut merampas sehelai baju hitam dan sebuah beg jenama dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
“Suspek berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu mempunyai rekod lampau membabitkan kes seksual di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.
Sementara itu, polis menasihati orang awam, khususnya wanita yang bekerja bersendirian, supaya sentiasa berwaspada dan segera membuat laporan jika menjadi mangsa jenayah. – Info X