Search

Buaya 300kg ditangkap di Kudat

November 21, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Pekerja tapak pembinaan Kilang Kibing berdepan detik cemas apabila seekor buaya tembaga seberat kira-kira 300 kilogram muncul berhampiran kolam di kawasan kerja, semalam.

Kehadiran reptilia sepanjang 2.5 meter itu disedari seorang pengadu yang segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kudat bimbang keselamatan pekerja yang keluar masuk kawasan berkenaan.

Beberapa anggota PKOD kemudian tiba di lokasi dan mendapati buaya terbabit berada di kawasan tanah lembut, menyukarkan pergerakan pasukan.

Anggota APM Kudat berjaya menangkap buaya seberat 300 kilogram di kawasan tapak pembinaan Kilang Kibing, Kudat.

Dengan bantuan pekerja dan jentera tapak, reptilia itu berjaya dialihkan sedikit demi sedikit sebelum pasukan menundukkannya.

Mata buaya ditutup dan badannya diikat menggunakan teknik kawalan haiwan liar sebelum dipindahkan ke tempat selamat dan dibawa ke PKOD Kudat untuk tindakan lanjut.

Tiada kecederaan dilaporkan sepanjang operasi. – Info X