SEPANGGAR: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai memiliki kepentingan yang besar bukan saja kepada Sabah, malah negara berikutan kehadiran pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar.
Lebih penting lagi, pangkalan TLDM Kota Kinabalu yang terbesar di Malaysia Timur itu adalah satu-satunya pangkalan pertahanan laut yang menempatkan aset strategik negara, iaitu kapal selam.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Karambunai, Datuk Yakub Khan, berkata rakyat Karambunai bertuah kerana kawasan mereka dilengkapi pangkalan tentera yang berfungsi menjaga keselamatan negara.
Katanya, pembinaan pangkalan berkenaan yang bermula pada 2001 dan beroperasi secara rasmi sejak Jun 2006 adalah hasil usaha kerajaan BN pada ketika itu untuk meningkatkan tahap keselamatan perairan negeri ini daripada sebarang ancaman luar.
Kepentingan pangkalan TLDM itu ditekankan beliau dalam siri jelajah kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 di Kampung Boronuon bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telipok Darat, di Telipok, malam tadi.
“Saya sempat berkongsi sejarah kehadiran TLDM di Karambunai yang telah memastikan keselamatan kawasan perairan kita, sekali gus membolehkan para nelayan mencari rezeki tanpa ancaman seperti dahulu,” katanya.
Pembukaan pangkalan TLDM yang kedua terbesar selepas Pangkalan TLDM Lumut di Perak itu membuka lembaran baharu terhadap kesiapsiagaan pasukan pertahanan laut negara dalam mengukuhkan keselamatan perairan Sabah.
Yakub berkata, inisiatif besar yang dilaksanakan kerajaan BN itu adalah antara bukti komitmen kepemimpinan negara di bawah BN sebelum ini terhadap soal kedaulatan dan keselamatan Sabah daripada sebarang ancaman dan tuntutan pihak luar.
Aspek keselamatan, katanya sangat mustahak bukan saja sebagai jaminan untuk rakyat menjalankan rutin harian dengan tenteram, malah memastikan kemajuan dan pembangunan Sabah tidak terjejas.
Atas sebab itu, katanya rakyat harus membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya 29 November ini dengan memilih kerajaan yang sudah terbukti membawa ketenteraman di Sabah, khususnya BN melalui pembinaan kemudahan keselamatan yang dilengkapi aset pertahanan moden.
“Saya juga menekankan betapa pentingnya membuat pilihan yang tepat dalam memilih kerajaan kerana ia bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
“Semoga kita semua terus dikurniakan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan dalam meneruskan pembangunan komuniti serta masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan pangkalan TLDM di Sabah juga boleh menjadi tarikan dan peluang kepada anak muda negeri ini untuk berkhidmat dalam pasukan pertahanan negara, khususnya di TLDM. – Info X