KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Arshad Idris, tidak menganggap faktor umurnya sebagai halangan untuk berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, walaupun sudah menjangkau usia 75 tahun, beliau masih bergerak aktif turun padang bertemu rakyat di sekitar DUN Karambunai bagi mengenal pasti masalah dan membantu mereka sejak tiga tahun lalu.
Beliau mengakui ada pihak mempertikaikan keupayaan calon yang sudah berumur kerana dianggap sudah tidak memiliki tahap kecergasan yang baik bagi memikul tanggungjawab membela rakyat di kawasan mereka.
“Memang begitulah, itu biasa, kadang-kadang ada dan sering juga orang-orang muda ini berkata bahawa calon, kalau sudah begitu berumur, mungkin kurang kecergasan.
“Tapi, saya berjanji kepada mereka, saya sudah bertugas dalam kawasan ini selama tiga tahun. Tidak adapun rasa kesulitan, malah sentiasa berdepan siapa saja, ada masalah kita selesaikan,” katanya.
Beliau selepas berjumpa pengundi di sekitar Universiti Apartment (UA), Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Rabu.
Arshad ditanya mengenai maklum balas pengundi di DUN Karambunai, khususnya golongan muda terhadap kehadiran beliau selaku antara calon berumur pada pilihan raya kali ini.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karambunai itu berkata di sebalik usia emasnya, beliau berjaya melaksanakan pelbagai usaha membantu rakyat Karambunai.
Jelasnya, ia termasuk membina sebanyak 140 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di sekitar DUN Karambunai sejak inisiatif kerajaan GRS itu dilaksanakan mulai dua tahun lalu.
“Kita sentiasa menyelesaikan masalah yang ditanggung semua penduduk kampung di kawasan Karambunai ini, terutama sekali membina rumah SMJ. Kita sudaj mendirikan dalam 140 rumah SMJ di kawasan ini. Inisiatif ini khusus untuk rakyat yang tidak mempunyai rumah,” katanya.
Ditanya mengenai peluangnya selepas hampir seminggu berkempen sejak hari penamaan calon Sabtu lalu, Arshad menjangkakan beliau berpeluang besar untuk memenangi kerusi berkenaan pada 29 November nanti.
“InsyaAllah, kerana kita telah bertugas selama tiga tahun di kawasan ini, mungkin peluang untuk kita menang adalah dalam 70 peratus berdasarkan usaha kita dari dulu sampai sekarang,” katanya. – Info X