Search

Cubaan seludup petrol di perairan Semporna gagal

November 21, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup petrol selepas merampas dua bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran dalam operasi bersepadu yang dijalankan semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, rampasan dilakukan oleh Bot ADAL 18 ketika melaksanakan OP PLUTO TIMUR 2/2013, OP Khas Cegah PATI (OCP) COVID-19 Sektor Timur serta OP TIRIS 3.0 kira-kira jam 5.45 petang dan 5.50 petang.

Katanya, dua bot berwarna kelabu biru dan kelabu itu dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.1 batu nautika utara Tanjung Pantau-Pantau, Semporna.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot ditinggalkan tanpa kru. Kita percaya pemilik bot melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui dua enjin sangkut Yamaha 40hp dan 37 jerikin petrol yang dipercayai barang kawalan cuba diseludup keluar dari negara ini.

APMM berjaya menumpaskan cubaan menyeludup petrol di perairan Semporna.

“Kedua-dua bot bersama enjin dan petrol berkenaan dirampas. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM20,000,” katanya.

Amir Shubli berkata, bot serta semua barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Semporna untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperketat kawalan serta meningkatkan operasi bagi membanteras penyeludupan dan jenayah maritim di perairan Semporna,” katanya. – Info X