Search

Dua maut, seorang cedera lori bawa telur terbalik

November 21, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas lori membawa muatan telur terbabas sebelum terbalik di tepi jalan di Kampung Bariawa Ulu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu lori, Awang Damit Kahar, 58, manakala identiti seorang lagi lelaki masih belum diperoleh.

Seorang lagi mangsa lelaki turut mengalami kecederaan.

Difahamkan, lori Nissan UD lapan tan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik, menyebabkan tiga mangsa di dalam kenderaan berkenaan tersepit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Penguasa Bomba Darren John berkata, seorang daripada mangsa mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar sendiri sebelum pasukan bomba tiba.

“Dua mangsa lagi tersepit pada bahagian papan pemuka dan struktur lori, termasuk bahagian stereng yang menghimpit mereka.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Pasukan operasi menggunakan peralatan khas penyelamatan kemalangan jalan raya (RTA) serta telescopic ram secara manual untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.

“Bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan KKM,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi mangsa cedera ringan dan dibawa ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.

“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Seramai tujuh anggota dari BBP Keningau terbabit dalam operasi yang tamat sepenuhnya pada jam 1.59 tengah hari,” katanya. – Info X