KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melakukan sendiri demonstrasi menampal jalan berlubang menggunakan BioAsphalt, satu teknologi aspal sejuk generasi baharu yang disahkan di Amerika Syarikat.
Demonstrasi itu dibuat di Golden Plaza, di sini, pada Jumaat, menggunakan BioAsphalt, yang diaktifkan dengan air dan hanya memerlukan alatan asas bagi menutup lubang yang kemudian boleh dilalui kenderaan dalam beberapa minit.
Teknologi itu, katanya boleh digunakan sebagai pilihan segera dan praktikal untuk menangani krisis jalan berlubang yang semakin meruncing di Sabah.
Presiden Parti Warisan, berkata dalam tempoh enam bulan lalu, Warisan meneliti beberapa penyelesaian yang praktikal dan berpatutan bagi mengatasi jalan berlubang dan mendapati BioAsphalt sebagai teknologi yang mampu memberikan kelegaan segera tanpa kos yang tinggi.
“Jalan berlubang di Sabah sudah menjadi isu hidup dan mati. Kita tidak boleh menunggu tragedi seterusnya. BioAsphalt ialah penyelesaian yang boleh digunakan segera tanpa proses perolehan panjang atau jentera mahal,” katanya.
Beliau berkata, BioAsphalt boleh dihasilkan di Sabah melalui penukaran biomass kelapa sawit dan sisa organik lain kepada biochar berkualiti tinggi, iaitu bahan negatif karbon yang menjadi asas campuran.
Katanya, pendekatan itu turut disasar dapat mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan import.

“Produk ini tidak memerlukan haba, tidak menggunakan pelarut dan tidak berbau, sekali gus lebih selamat untuk pekerja serta boleh dipasang dengan cepat.
“Ia dibekalkan dalam beg 20 kilogram, memudahkan penggunaan di semua 73 kawasan DUN dengan potensi eksport ke luar Sabah.
“Teknologi ini disokong penyelidikan bertahun-tahun bersama National Center for Asphalt Technology (NCAT) di Auburn, salah satu pusat autoriti jalan raya terkemuka dunia,” katanya.
Selain Shafie yang juga calon Warisan bagi kerusi DUN Senallang, turut menyaksikan demonstrasi itu ialah Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking dan Naib Presiden Warisan, Terrence Siambun.
Demonstrasi itu, katanya menandakan kesediaan Warisan untuk menskalakan penyelesaian itu di seluruh negeri apabila diberi mandat nanti.
“Kepimpinan bukan tentang menunggu kuasa. Ia tentang menyediakan pilihan yang berkesan dan boleh dipercayai untuk memperbaiki kehidupan rakyat hari ini. Sabah perlu penyelesaian, bukan slogan,” katanya.
Beliau berkata, BioAsphalt membuka laluan kepada jalan yang lebih selamat, kos penyelenggaraan yang lebih rendah dan industri berorientasikan iklim yang positif untuk Sabah.
Dengan memberi keutamaan kepada inovasi praktikal, katanya Warisan membina asas negeri yang lebih selamat, berdaya tahan dan mampan untuk semua rakyat Sabah.
Sementara itu, Warisan mendedahkan Sabah merekodkan beberapa insiden maut akibat keadaan jalan rosak sejak kebelakangan ini.
Katanya, pada 24 Januari 2024, seorang kanak-kanak maut dalam kemalangan lima kenderaan di Kinabatangan yang berpunca daripada jalan berlubang.
“Beberapa hari sebelumnya, seorang pemandu lori di Kampung Sentosa Jaya meninggal dunia ketika cuba mengelak bahaya sama.
“Pada 3 Februari 2025, seorang penghantar makanan dan bapa kepada dua anak maut selepas melanggar lubang jalan di jejambat Lido.
“Kes-kes ini menunjukkan betapa mendesaknya keperluan penyelesaian jalan yang lebih selamat dan cepat,” katanya
Beliau berkata, bekas Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, sebelum ini mengesahkan lebih 50 peratus jalan di Sabah melepasi jangka hayat reka bentuk 20 tahun, dengan lebih 73,000 lubang jalan direkodkan antara 2023 dan 2024, iaitu hampir 70 peratus daripada jumlah nasional. – Info X