Search

Warga emas hilang ditemui meninggal dunia di belakang rumah

November 22, 2025

Info X Reporters

TAMPARULI: Misteri kehilangan seorang warga emas awal pagi tadi berakhir tragedi apabila dia ditemui meninggal dunia hanya kira-kira 30 meter dari rumahnya di Kampung Bayag Kiulu, di sini, petang tadi.

Mangsa, Taisin Bandaran, 87, dilaporkan hilang oleh ahli keluarga selepas didapati tiada di dalam bilik tidur sekitar jam 6 pagi.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan, mendorong keluarga menghubungi polis seterusnya memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk bantuan pencarian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba Mohamad Nor Amit berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dan unit EMRS digerakkan ke lokasi sebaik panggilan diterima jam 3.30 petang.

Anggota bomba dan polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui kira-kira 30 meter dari rumahnya di Kampung Bayag Kiulu, Kiulu.

“Sebaik tiba, operasi pencarian segera dijalankan di sekitar kawasan rumah mangsa sebelum mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, kira-kira 30 meter dari kediamannya.

“Pemeriksaan oleh pasukan KKM mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.40 petang.

Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM. – Info X