LAHAD DATU: Seorang penyeludup sanggup terjun ke laut dan melarikan diri meninggalkan bot sarat minyak masak peket subsidi serta petrol, namun taktiknya terbongkar selepas dikesan bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu berlaku di perairan Felda Sahabat, di sini apabila sebuah bot mencurigakan dikesan pada jarak 0.16 batu nautika dari Tenggara Kampung Tandu Tungku.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, suspek bertindak memecut laju sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum mengubah haluan ke arah daratan berhampiran.
“Ketika dihampiri, suspek nekad terjun ke laut dan meloloskan diri, meninggalkan bot yang sarat muatan barang bersubsidi.
“Pemeriksaan menemukan 1,530 paket minyak masak satu kilogram disusun dalam kotak dan ditutup dengan canvas coklat, selain 15 gelen petrol yang disorokkan di bawah muatan minyak masak berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Dzulfikhar, semua barang rampasan bersama bot telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Felda Sahabat untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan barang rampasan termasuk bot dianggarkan RM75,240. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana penyewelengan minyak masak dan petrol bersubsidi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi WhatsApp Zon Maritim Lahad Datu di talian 016-9305727 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X