Search

PRU Sabah: Aliakbar komited perjuang hak, kebajikan nelayan Karambunai

November 22, 2025

Info X Reporters

SEPANGGAR: Calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menyatakan komitmennya untuk terus memperjuangkan kebajikan dan hak asasi nelayan di kawasan itu.

Katanya, usaha itu bagi memastikan komuniti berkenaan tidak terpinggir daripada arus pembangunan yang pesat di bandar raya Kota Kinabalu.

Beliau berkata, Kampung Sabang, Salimbangun dan Numbak adalah antara lokasi pesisir pantai yang dihuni masyarakat nelayan sejak turun-temurun dengan sebahagian besar penduduknya bergantung sepenuhnya kepada hasil laut untuk menyara keluarga.

“Saya sudah beberapa kali bertemu dan berdialog dengan nelayan termasuk ketika sidang DUN Sabah, bagi mendengar dan membincang secara langsung isu serta tekanan yang dihadapi komuniti nelayan.

“Antara isu besarnya ialah masalah jeti, isu pembangunan menelan perkampungan nelayan, kemudahan-kemudahan dan alhamdulillah apabila kami mengadakan dialog dengan pelbagai agensi kita menerima sangat banyak maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Sepagi Di Laut di Kampung Sabang’, di sini, baru-baru ini yang turut disertai nelayan tempatan.

Aliakbar menyertai nelayan Karambunai menangkap ikan di Teluk Sepanggar.

Pada program itu, Aliakbar menyertai nelayan di kampung berkenaan turun menangkap ikan dengan menaiki bot di perairan Teluk Sepanggar bagi memahami kehidupan nelayan secara dekat.

Aliakbar berkata sesi dialog bersama pelbagai agensi sebelum ini membuka banyak ruang maklumat yang membantu merangka penyelesaian lebih tepat bagi keperluan masyarakat nelayan Karambunai.

Beliau berkata, penglibatannya dalam aktiviti menangkap ikan pada program itu memberi peluang kepadanya untuk benar-benar menghayati kehidupan nelayan selain mengukuhkan hubungan serta komitmen untuk terus memperjuangkan nasib mereka.

Justeru, beliau menegaskan bahawa perjuangan untuk memastikan hak, kebajikan, kemudahan serta inisiatif sokongan kepada nelayan akan diteruskan kerana sebarang pembangunan yang mengancam kampung pesisir pasti memberi kesan langsung terhadap sosioekonomi keluarga nelayan.

“Jadi di antara benda yang saya akan bawa dalam siri-siri perjuangan akan datang ini, insya-Allah untuk kita terus memperjuangkan hak dan kebajikan nelayan,” katanya. – Info C