KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Mohd Razali Razi menegaskan pilihan raya bukan soal memilih pemimpin yang lantang atau pandai berbicara.
Sebaliknya, Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu mahu rakyat menjadikan pilihan raya untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar bekerja, turun padang, mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat secara konsisten.
Katanya, rakyat juga harus menolak budaya politik kebencian, sebaliknya mengamalkan budaya tidak membezakan suku kaum dan menekankan nilai keikhlasan serta amanah dalam perkhidmatan.
“Budaya inilah yang perlu diketengahkan di Darau dan dijadikan panduan untuk rakyat membuat pilihan siapa wakil rakyat dan kerajaan yang layak diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Perjumpaan Keluarga Khairul Fahmi Gulam Rasul pada malam Sabtu.
Razali yang mesra disapa awbagai Bob atau Datuk Bob, berkata rakyat sudah terlalu biasa dengan pemimpin yang hanya muncul lima tahun sekali dengan pidato lantang, namun gagal membawa hasil.
“Tidak perlu pemimpin teriak sana, teriak sini tetapi hasilnya kosong. Yang penting adalah pemimpin yang rajin turun padang, dengar masalah, dan cari penyelesaian,” katanya.
Katanya sejak lebih dua tahun lalu, beliau dan pasukannya sudah giat bergerak dari kampung ke kampung bagi membantu menyelesaikan pelbagai isu asas rakyat.
Beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pemasangan sistem CCTV pertama di Kampung Likas atas permintaan penduduk bagi meningkatkan pemantauan terhadap aspek keselamatan di kawasan itu.
Sementara itu, katanya pilihan raya pada 29 November ini adalah peluang memilih pemimpin yang berfungsi sebagai jambatan rakyat, bukan untuk kedudukan atau gelaran, tetapi sebagai tempat rakyat mengadu dan mendapatkan penyelesaian.
“Saya bukan datang untuk menjadi Yang Berhormat, saya datang untuk menjadi jambatan kamu di Kampung Likas, menjadi mulut kamu untuk mencari penyelesaian,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa jika kerajaan bertukar, banyak perancangan dan dasar yang dilaksanakan kerajaan GRS berisiko dibatalkan, menyebabkan pembangunan kembali tertangguh.
Justeru, beliau menyeru pengundi mengekalkan kerajaan GRS bagi memastikan kesinambungan dasar dan projek pembangunan di Darau serta seluruh Sabah.
Sebagai anak jati Kampung Likas, katanya beliau merayu dengan rendah hati agar penduduk menilai dengan fikiran yang waras, bukan dengan emosi.
“Kita pilih bukan kerana suku, bukan kerana agama, bukan kerana sentimen. Pilihlah berdasarkan prestasi, kerja dan kemampuan membawa perancangan,” katanya.
Beliau memohon agar pertemuan pada malam itu menjadi pembuka hati kepada pengundi Kampung Likas dan Darau untuk memberi peluang kepadanya berkhidmat. – Info X