KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Arfanshah Abdul Gafar yakin kerusi yang ditandinginya itu bakal menyumbang kemenangan untuk BN membentuk kerajaan pada 29 November ini.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan sokongan rakyat kawasan itu yang kembali kepada BN bagi memastikan Darau tidak lagi ketinggalan apabila gabungan itu berjaya membentuk semula kerajaan negeri nanti.
Katanya, pengundi DUN Darau perlu membantunya untuk memastikan keyakinan itu menjadi kenyataan demi masa depan generasi akan datang di kawasan berkenaan.
“Bantu kami bagi mandat kepada BN sebab ini bukan untuk generasi saya saja, tapi generasi selepas saya.
“InsyaAllah saya percaya pada malam 29 November nanti, kerusi N17 Darau ini akan menyumbang satu kerusi untuk membentuk kerajaan negeri Sabah nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program kempennya di Kampung Warisan, Inanam, di sini, malam tadi.

Pada program secara santai itu, beliau yang mesra disapa dengan panggilan Joe turut bertukar idea dengan penduduk mengenai pelbagai perkara untuk kebaikan mereka dan kawasan Darau.
Katanya, lebih banyak sumbangan atau pembangunan yang mampu dibawa ke DUN Darau jika BN kembali memerintah, berbanding sebelum ini.
“Sewaktu kita tiada apa-apa ini pun, kita masih boleh bagi sumbangan di sini. Bukan sumbangan maksudnya, sumbangan duit, tapi sumbangan pembangunan.
“Itu yang kita bawa di Kalansanan ini, projek baik pulih di sini pun kita bawa, ini belum ada kuasa lagi. Kita memudah cara dan saya yakin lebih banyak perubahan dapat dilaksanakan di sini jika BN menang nanti.
“Kalau percaya kepada BN, InsyaAllah rakyat akan dijaga, termasuk di Kalansanan ini kerana banyak lagi yang perlu dilaksanakan di sini,” katanya. – Info X