Search

PRN Sabah: 2 calon bebas dari GRS dijangka menang?

November 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Muda, bertenaga, dan bersemangat. Itu gambaran karakter dua calon bebas yang mengambil keputusan meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Daripada 6 pimpinan GRS yang bertanding bebas, 2 calon iaitu Fairuz Renddan dan Mohd Ismail Ayob dijangka mampu mencipta kejutan di peti undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan dan Lamag pada 29 November ini.

Fairuz, penyandang kerusi DUN Pintasan, mantan Pembantu Menteri Belia dan Sukan yang turut menggalas jawatan sebagai Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) sebelum ini dikejutkan dengan nama Tan Sri Pandikar Amin diumum sebagai calon mewakili GRS di DUN Pintasan.

Ismail, bekas pegawai khas kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dikhabarkan turut menerima nasib yang sama apabila Johainizamshah Johari diumumkan sebagai calon di saat akhir mewakili GRS di Lamag.

Ismail sebelum ini merupakan Ketua Wira Warisan Sabah mempunyai rekod bersaing dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin berjaya meraih undi sebanyak 2,374, 41 peratus pada PRN Sabah 2020.

Ismail dan Fairuz berkongsi satu persamaan yang ketara pada PRN kali ini, iaitu kedua-duanya didokong oleh suara awam terutamanya di peringkat akar umbi.

Secara umum, masyarakat di DUN Lamag dan Pintasan menginginkan kepimpinan baharu, segar, rajin, dan mempunyai rekod khidmat yang baik.

Dokongan orang awam yang ketara hingga sebahagian mereka memilih untuk menjadi jentera kepada Fairuz dan Ismail merupakan isyarat, manifestasi kepada aspirasi rakyat yang dahagakan perubahan.

Setakat ini, itu yang jelas di kacamata penulis ketika melakukan tinjauan di kedua DUN ini 3 hari lalu.

Kendatipun, dalam tempoh berbaki 5 hari saja lagi segala kemungkinan boleh berlaku, dan persoalan siapa yang bakal memimpin Pintasan dan Lamag akan terjawab pada Sabtu depan selepas rakyat di kedua DUN membuat keputusan.

𝘼𝙧𝙩𝙞𝙠𝙚𝙡 𝙞𝙣𝙞 𝙖𝙙𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙥𝙖𝙣𝙙𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙣𝙪𝙡𝙞𝙨 𝙨𝙚𝙢𝙖𝙩𝙖-𝙢𝙖𝙩𝙖 𝙙𝙖𝙣 𝙩𝙞𝙙𝙖𝙠 𝙢𝙚𝙬𝙖𝙠𝙞𝙡𝙞 𝙥𝙚𝙣𝙙𝙞𝙧𝙞𝙖𝙣 𝙧𝙖𝙨𝙢𝙞 𝙄𝙣𝙛𝙤 𝙓