Search

Perjuangan KDM terus hidup, pengundi Melalap perlu ‘Misompuru’ – Priscella

November 24, 2025

Info X Reporters

TENOM: Calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Priscella Peter, tampil dengan keyakinan baharu apabila menegaskan komitmennya untuk meneruskan perjuangan parti dan legasi pembangunan yang pernah dirintis ayahnya, Datuk Peter Anthony (DPA).

Berucap dalam program santai KDM Saga yang menghimpunkan jentera parti buat kali pertama, Priscella berkata beliau terharu dengan sambutan luar biasa penduduk yang disifatkannya sebagai ‘keluarga besar Melalap’, selain sokongan tidak putus-putus sejak beliau turun padang sepanjang kempen PRU Sabah Ke-17.

Beliau berkata, kehadirannya bukan sekadar untuk memperkenalkan diri sebagai calon, tetapi membawa semangat DPA yang sentiasa dekat dengan masyarakat Melalap.

Menurutnya, walaupun DPA hanya sempat berada dalam kerajaan selama dua tahun, banyak permohonan pembangunan untuk Melalap sudah diluluskan ketika itu, termasuk projek berimpak besar.

Namun, jelasnya, selepas pertukaran pentadbiran, kebanyakan kelulusan tersebut tidak diteruskan, sekali gus menyebabkan banyak keperluan rakyat masih belum diselesaikan.

“Walaupun DPA tidak berada dalam kerajaan selama tiga tahun, jentera kita tidak pernah berhenti bekerja. Kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan,” katanya disambut tepukan penyokong.

Priscella bersalam dengan penyokong ketika program santai KDM Saga di Tenom.

Priscella turut menegaskan bahawa politik hari ini perlu bergerak ke arah kematangan, kesatuan dan bukan lagi retorik perpecahan.

“Cukuplah dengan politik yang saling menjatuhkan. Akhirnya kita tetap jumpa di kampung ini juga. Kita perlu bersatu hati,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya beliau akan meninggalkan kawasan selepas pilihan raya, sebaliknya berikrar untuk terus berada bersama rakyat Melalap dalam apa jua keadaan.

“Biar apa pun terjadi pada 29 November nanti, kamu tetap akan nampak muka saya. Saya akan masuk juga setiap rumah, seperti janji saya sebelum ini,” ujarnya.

Priscella berkata, KDM bukan parti milik individu, tetapi milik seluruh rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama, selaras dengan semangat perjuangan asal parti itu.

Priscella berucap pada program santai KDM Saga, Tenom.

Justeru, beliau merayu agar rakyat Melalap tidak berpecah kerana perpecahan hanya melemahkan suara mereka.

Menjelang seminggu terakhir sebelum hari mengundi, Priscella bertekad untuk terus masuk ke setiap pelosok kampung, mendekati penduduk dan mendengar sendiri keperluan rakyat.

Beliau optimis bahawa dengan sokongan terhadap 40 kerusi yang ditandingi KDM, parti itu mampu memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan baharu selepas PRU Sabah Ke-17.

“Undi di tangan tuan-tuan dan puan-puan. Lima tahun masa depan Melalap ditentukan sekarang. Jika diberi mandat, saya akan teruskan apa yang belum sempat disiapkan,” katanya sebelum menutup ucapan dengan komitmen untuk mendengar setiap teguran dan pandangan penduduk. – Info X