Oleh 𝘼𝙡𝙞𝙖𝙨 𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡𝙡𝙖𝙝
CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan, bukan nama asing bagi masyarakat di kawasan itu.
Selain dikenali atas kapasitinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai pada penggal lalu, Yakub juga sudah lama dikenali sebagai pemimpin BN dan UMNO Sepanggar yang mudah didekati.
Atas kelebihan itu, rakyat Karambunai sememangnya menyokong beliau dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi DUN Karambunai pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Yakub juga adalah seorang pemimpin yang mementingkan perpaduan dan keharmonian sejajar sikapnya yang tidak pernah membezakan bangsa, kaum atau latar belakang ketika membantu masyarakat.

Sering turun padang dan sentiasa membuka pintu kepada mana-mana penduduk yang memerlukan bantuan, sama ada di kampung tradisi, penempatan bercampur atau kawasan perumahan moden, itulah pendekatan pemimpin berkenaan.
Penampilannya yang bersahaja, merendah diri dan tidak banyak soal apabila dipanggil disifatkan penduduk Karambunai sebagai ‘jarang-jarang ada’, menjadikan mereka rasa bertuah memiliki pemimpin sepertinya.
Yakub juga disifatkan sebagai seorang pemimpin yang ‘turun dulu, tanya kemudian’, kerana beliau sering hadir ke lokasi kejadian atau melihat masalah rakyat tanpa menunggu laporan rasmi.
Keprihatinan beliau merentas kaum dan lapisan masyarakat menjadikan namanya semakin kukuh sebagai figura yang dipercayai, dihormati dan menjadi tempat rujukan komuniti setempat.
Itulah Yakub yang dikenali sebagai pemimpin kepercayaan rakyat Karambunai sejajar keprihatinanya terhadap hal ehwal rakyat di kawasan itu yang menjadi keutamaan beliau dalam tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin.

Sepanjang seminggu kempen PRU Sabah Ke-17, Yakub sudah hampir menjelajah ke seluruh pelusuk DUN Karambunai bagi mendekati dan menyantuni pengundi, sambil mendengar sendiri keluhan dan harapan mereka untuk masa depan diri, anak-anak, keluarga serta rakyat Sabah keseluruhannya.
Yakub turut mengambil kesempatan bersantai bersama penduduk, termasuk bersukan bersama anak muda sambil menyelitkan mesej mengenai kepentingan memilih BN sebagai lambang calon di kertas undi pada 29 November nanti.
Jika dilihat di atas kertas, Yakub tiada masalah untuk mempertahankan kerusi DUN Karambunai, berbanding 10 calon lain yang ingin merebutnya, namun sikap tidak mudah leka dengan ramalan positif itu, membuatnya tetap berhati-hati berdepan seminggu lagi baki kempen PRU Sabah Ke-17.
Baki kempen sebelum hari mengundi pada 29 November ini cukup kritikal bagi menambah kekuatan penyokong Yakub dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap kepentingan lambang BN sebagai pilihan utama pada 29 November ini.

Meskipun berdepan calon yang tidak kurang hebat khususnya dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan Perikatan Nasional (PN), Yakub tetap di hadapan dalam persaingan antara mereka berdasarkan kedudukannya sebagai penyandang dan kempen aktifnya di seluruh pelusuk DUN Karambunai.
𝘼𝙧𝙩𝙞𝙠𝙚𝙡 𝙞𝙣𝙞 𝙖𝙙𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙥𝙖𝙣𝙙𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙣𝙪𝙡𝙞𝙨 𝙨𝙚𝙢𝙖𝙩𝙖-𝙢𝙖𝙩𝙖 𝙙𝙖𝙣 𝙩𝙞𝙙𝙖𝙠 𝙢𝙚𝙬𝙖𝙠𝙞𝙡𝙞 𝙥𝙚𝙣𝙙𝙞𝙧𝙞𝙖𝙣 𝙧𝙖𝙨𝙢𝙞 𝙄𝙣𝙛𝙤 𝙓