KOTA KINABALU: Sebanyak 85 laporan polis diterima sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 sehingga semalam, membabitkan pelbagai kesalahan termasuk salah guna media sosial dan kerosakan bahan kempen.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kebanyakkan laporan diterima melibatkan tindakan memuat naik kandungan menyalahi undang-undang serta perbuatan vandalisme terhadap poster, bendera dan bahan kempen.
“Jumlah ini dianggap normal kerana ramai pihak terlibat dalam kempen, dan beberapa isu tidak dapat dielakkan.
“Kebanyakan kes melibatkan muat naik kandungan melanggar undang-undang dan vandalisme bahan kempen.
“Daripada 85 laporan yang diterima, polis membuka 53 kertas siasatan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi tindakan lanjut,” katanya selepas menunaikan undi di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepaya, pada Selasa.
Jauteh berkata, sehingga malam Isnin, sebanyak 7,288 permit kempen dikeluarkan kepada semua parti politik dan calon bertanding selepas melepasi semua syarat tapisan yang ditetapkan.
Sementara itu, kadar keluar mengundi awal sehingga jam 9 pagi tadi direkodkan pada 22.28 peratus, bersamaan 4,239 pengundi daripada keseluruhan 24,426 pengundi awal berdaftar di seluruh Sabah. – Info X