Search

PRU Sabah: Tabung Kebajikan DUN Petagas diwujudkan jika Dr Afifi menang

November 25, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: Tubuhkan segera pusat khidmat, salur 20 peratus elaun bulanan ke Tabung Kebajikan DUN dan membentuk Sukarelawan Rakyat jika menang pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Itu langkah awal dalam tempoh dua bulan pertama yang akan dilaksanakan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Afifi Saif jika beliau memenangi kerusi DUN Petagas pada 29 November ini.

Katanya, langkah itu sejajar komitmen beliau untuk membawa politik khidmat dan penyelesaian untuk rakyat menerusi tawaran agenda PETAGAS yang dirangka secara menyeluruh bagi melaksanakan reformasi pendidikan, ekonomi rakyat, teknologi, kesihatan, sukan, budaya dan kebajikan.

Menerusi tawaran itu, Dr Afifi turut menyenaraikan beberapa inisiatif untuk rakyat Petagas yang digariskan mengikut akronim PETAGAS dan akan dilaksanakan jika rakyat Petagas memberi mandat kepadanya pada PRU Sabah Ke-17.

“Huruf P untuk Pendidikan Sepanjang Hayat yang mana kita akan memastikan tiada anak Petagas tercicir dalam pendidikan bagi memajukan anak Petagas demi masa depan diri dan keluarga.

“Dalam hal ini, kita berhasrat memperkenal Program Tuisyen Rakyat Percuma untuk kanak-kanak, Baucar Kursus Kemahiran untuk anak muda dan kelas komuniti untuk warga emas termasuk Al-Quran, komputer dan keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Malam Seni Budaya di Dataran Pomoi, di sini, pada Isnin yang turut dihadiri Speaker Dewan DUN Kelantan, Datuk Seri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah dan AJK PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa.

Dr Afifi berkata, bagi huruf E yang digariskan untuk Ekonomi Tempatan Diperkasa, beliau mencadangkan penubuhan Petagas Local Market Hub sebagai sebuah pusat rangkuman usahawan kecil, penjaja dan nelayan.

“Inisiatif ini mengambil kira cabaran kos sara hidup dan peluang kerja yang terhad, dan atas pertimbangan itu, satu dana bantuan permulaan RM1,000 turut disasarkan kepada anak muda dan ibu tunggal yang ingin memulakan perniagaan kecil,” katanya.

Huruf T pula katanya merujuk kepada Teknologi Untuk Semua yang mana beliau menawarkan internet percuma di 20 lokasi tumpuan serta pembangunan Smart Petagas App bagi memudahkan warga membuat aduan, memantau projek dan mengakses bantuan secara telus.

“Kemudian huruf A adalah untuk Akses Kesihatan Mobile. Ia bagi memastikan setiap keluarga mendapat rawatan asas dan sebagai seorang doktor kita akan menawarkan Klinik Bergerak bulanan, subsidi pemeriksaan gigi dan cermin mata untuk kanak-kanak, serta Kad Kesihatan Warga Emas Petagas.

“Huruf G pula merujuk kepada Generasi Sukan dan Rekreasi yang mana kita berhasrat menyemarakkan kembali gaya hidup sihat dengan Petagas Fit, liga komuniti dan menaik taraf padang serta gelanggang di setiap mukim,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata huruf A pula adalah untuk Akar Budaya Dipertahan iaitu satu usaha memberi nafas baharu seni budaya pelbagai etnik di Petagas melalui Minggu Kebudayaan Petagas dan pertandingan seni tradisional.

“Akhir sekali huruf S untuk Sosial Kebajikan Diperkasakan. Kita turut berikrar membantu keluarga miskin tegar dengan skim bantuan makanan bulanan dan bantuan kecemasan segera bagi kes kebakaran atau musibah.

“Inilah masa kita buktikan politik bukan untuk gaduh, tetapi untuk membina rakyat. Petagas berhak mendapat wakil rakyat yang bekerja, bukan hanya berkata-kata,” katanya.

Dengan pendekatan bersih, berintegriti dan berpaksikan penyelesaian, beliau menegaskan bahawa keutamaan beliau adalah memastikan setiap lapisan masyarakat Petagas merasai pembelaan yang adil dan masa depan yang lebih terjamin. – Info X